GENEVA, 15 MAC – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini mengecam pembunuhan beramai-ramai di Myanmar dan menuduh tentera mengenai kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan sejak rampasan kuasa tahun lalu.
Pejabat hak asasi manusia PBB menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil langkah segera untuk menghentikan keganasan yang berterusan di Myanmar.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada 1 Februari tahun lalu, menyingkirkan kerajaan awam dan menahan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi. Sejak itu, junta melancarkan tindakan keras berdarah terhadap penentang.
Dalam satu laporan meliputi tempoh sejak rampasan kuasa itu, pejabat ketua hak asasi manusia PBB, Michelle Bachelet menyatakan bahawa tentera dan pasukan keselamatan telah terang-terangan menunjukkan sikap tidak mempedulikan nyawa manusia.
Ia menggambarkan bagaimana tentera menghujani kawasan-kawasan padat dengan serangan udara dan senjata berat serta sengaja menyasarkan orang awam, kebanyakannya ditembak di kepala, dibakar sehingga mati, ditahan sembarangan, diseksa atau digunakan sebagai perisai manusia.
“Kami telah dapat mengenal pasti satu corak dalam tempoh setahun ini, yang menunjukkan bahawa ini adalah serangan yang dirancang, diselaraskan dan sistematik, terdapat petunjuk jelas bahawa ia sama dengan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan,” jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Ravina Shamdasani memberitahu pemberita di Geneva.
“Ini adalah petunjuk paling jelas mengenai perbuatan jenayah-jenayah berkenaan.”
Laporan itu menyatakan, sekurang-kurangnya 1,600 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan dan sekutu-sekutu mereka, sementara lebih 12,500 telah ditahan. Sekurang-kurangnya 440,000 yang lain telah dipindahkan dan 14 juta memerlukan bantuan kemanusiaan segera, yang penghantarannya sebahagian besar disekat oleh tentera di kawasan-kawasan baharu dan sedia ada, menurut laporan itu.
“Tindakan-tindakan bermakna oleh komuniti antarabangsa sangat diperlukan segera untuk menghentikan lebih ramai individu dirampas daripada hak, nyawa dan kehidupan mereka,” Bachelet berkata. – AFP