PBCTA mekanisme tingkat Patriotisme

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Pembangunan belia yang mapan terus diberikan tumpuan menerusi pelaksanaan Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) yang telah diperkenalkan pada 2006 bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Program yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Pendidikan dan persatuan serta pergerakan belia itu menyaksikan seramai 61 orang belia terlibat dalam program berkenaan pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 42 orang ialah peserta baharu dari keempat-empat daerah dan 19 orang peserta alumni di mana penyertaan yang menggalakkan itu membuktikan bahawa PBCTA masih relevan dilaksanakan dan menjadi satu program mekanisme ke arah meningkatkan semangat patriotisme di kalangan belia.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat selaku pengerusi PBCTA dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penghargaan PBCTA ke-15 yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para peserta dan peserta-peserta contoh ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan cenderahati kepada Dayang Hamizahtul Liyana.
Pengiran Haji Mohd Hasnan dan Dayang Mariam serta para jemputan bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan di majlis itu.

Dalam kata alu-aluannya lagi, Dayang Mariam menyatakan harapan para peserta akan terus kekal aktif dan dinamik dengan menjadi alumni PBCTA supaya segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh melalui program berkenaan akan dapat dipertingkatkan lagi serta mampu mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 sesuai dengan tema sambutan, ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

Pada majlis itu, dua orang wakil peserta PBCTA iaitu Awang Mohd Amani Fikri bin Haji Mohd Jaffari dan Dayang Hamizahtul Liyana binti Haji Hamdilah membentangkan mengenai hasil penyertaan mereka dalam program berkenaan.

Majlis kemudian menyaksikan Pengiran Haji Mohd Hasnan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil-wakil peserta dan penyokong acara berkenaan serta menyampaikan cenderahati Peserta Lelaki Contoh kepada Awang Muhd Qutbul Islam bin Haji Suhaimi dan Peserta Perempuan Contoh kepada Dayang Hamizahtul Liyana.

Program yang bermula pada 16 Februari itu melibatkan beberapa aktiviti seperti menyertai Upacara Menaikkan Bendera Besar Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, Kembara 36, Eksplorasi Calak Brunei (perkampungan), Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan dan Menyertai Perbarisan Lalu Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan.

Program itu bermatlamat untuk meningkatkan semangat kenegaraan dan kekitaan, patriotik para belia melalui aktiviti-aktiviti disediakan di samping bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti pembangunan belia seperti kepimpinan, kemasyarakatan, kesukarelawanan, keagamaan dan kesukanan dan saling bantu membantu di antara satu sama lain.