PBJM fokus dua kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan memberi fokus kepada dua kejohanan antarabangsa pada 2021 selepas acara bola jaring tidak dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Dua kejohanan berkenaan adalah Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia di Fiji dari 10 hingga 19 Jun 2021, selain Temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia keenam dari 21 hingga 30 Mei di Thailand.

Setiausaha Kehormat PBJM Zainon Md Noh berkata badan induk itu akan menghantar barisan campuran melibatkan pemain senior dan remaja sewaktu acara bola jaring membuat penampilan sulung pada kejohanan di Bangkok itu, dengan sasaran muncul juara.

“Bagi Kejohanan Remaja Dunia di Fiji, kami menyasarkan untuk memperbaiki ranking kita daripada kedudukan ke-17 pada edisi 2017 di Bostwana kepada kelompok 14 pasukan terbaik memandangkan beberapa kuasa besar dunia seperti juara bertahan New Zealand, Australia, England dan Jamaica dijangka menguasai kedudukan teratas kejohanan berkenaan. – Bernama