PBSM diseru kukuhkan kesiap sediaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam diseru untuk menerokai kemungkinan mengembangkan keanggotaannya terutama dalam kalangan pelajar dan remaja bagi mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang lebih besar mengenai visi dan misi Bulan Sabit Merah dalam membantu masyarakat baik pada masa aman dan krisis.

Seruan ini dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Kolokium Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan Prinsip Asas Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) di Ibu Pejabat dan Akademi PBSM, di Bangunan Pejabat Pos Bunut, baru-baru ini.

“Kita telah mengalami bencana-bencana alam di rantau ini selama bertahun-tahun. Wabak koronavirus adalah isu terkini yang melanda dunia,” kongsinya.

Oleh itu, beliau menyeru dan mengingatkan akan pentingnya mengekalkan dan mengukuhkan kesediaan, memperlihatkan keupayaan dalam menghadapi bencana dan mengukuhkan daya tahan masyarakat.

Ini, tambahnya, memerlukan kerjasama lebih erat sama ada antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika hadir di Majlis Pembukaan Kolokium Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan Prinsip Asas Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) di Ibu Pejabat dan Akademi PBSM, di Bangunan Pejabat Pos Bunut.

Terdahulu itu, Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata, aktiviti PBSM Brunei Darussalam memainkan peranan dalam mempromosi dan menyebarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa kepada orang awam.

Beliau melahirkan perasaan gembira kerana PBSM bekerjasama rapat dan secara berterusan dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Negara Brunei Darussalam di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Sebagai rakan strategik NDMC, ujar beliau, PBSM telah mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif kebangsaan dengan kerjasama NDMC seperti menyediakan bantuan dalam menerima dan mencatat rekod sumbangan awam kepada NDMC berikutan operasi Taufan Haiyan di Filipina pada 2013.

Selain itu, menyediakan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) dalam bencana banjir dan pemulihan banjir dan baru-baru ini terlibat dalam kegiatan kesiapan NDMC – Program Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana (DPC) yang dianjurkan pada Ogos tahun lalu.

Dalam perkara ini, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada PBSM atas sokongan dan kerjasama dalam program ini seterusnya berharap kerjasama yang ada sekarang dapat di perkukuhkan di masa akan datang.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Zurab Burduli dan Catherine Martin yang masing-masing dari Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Presiden PBSM Brunei, Haji Suhaimi serta jemputan lain.