Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    PBSM sambut hari pertolongan cemas sedunia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Dengan matlamat untuk mengetengahkan kepentingan pertolongan cemas dan meningkatkan kesedaran mengenai bagaimana perkhidmatan pertolongan cemas boleh menyelamatkan nyawa, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas, di sini, kelmarin.

    Hadir untuk sama-sama merasmikan majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Mohd Jaafar.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri; Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Pengarah Serantau bagi Asia Pasifik, International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), Juja Kim dan Ketua Delegasi bagi IFRC Country Cluster, Kathryn Clarkson.

    Majlis dimulakan dengan acara senaman petang dan diteruskan dengan perasmian sambutan yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff, Haji Maswadi, Awang Junaidi dan Juja Kim.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Dato menyampaikan beg pertolongan cemas kepada Platun Korporat BRC BIBD.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika membuat lawatan ke Platun Korporat BRC BIBD.

    BIBD baru-baru ini, telah menjadi entiti korporat pertama di Brunei yang menubuhkan sebuah platun korporat yang akan bertindak sebagai ejen bantuan atau sokongan bagi PBSM dalam melaksanakan misi atau inisiatif pertolongan cemas asas.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga merasmikan pemasangan mesin Automated External Defibrillator (AED) di BIBD Connects yang boleh diakses bagi kegunaan orang ramai semasa kecemasan.

    Beliau juga menyaksikan pameran yang mengetengahkan Program Kesejahteraan BIBD dan menyertai kegiatan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh Duta Kesejahteraan BIBD.

    Di bawah Intelligent Partnership Agreement (IPA), PBSM telah bekerjasama dengan BIBD untuk membangunkan program kesejahteraan yang menggabungkan klinik gaya hidup sihat, program pengurusan stres serta Program Pertolongan Cemas Kesihatan Mental PBSM.

    Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah menerangkan bahawa majlis itu merupakan kesinambungan kepada kerjasama berpanjangan BIBD dengan PBSM sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan utama yang menyokong Kementerian Kesihatan.

    PBSM menerusi Pelan Strategik 2020-2025, jelasnya, sedang aktif berusaha untuk memupuk budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat dengan melatih lebih ramai pembantu pertolongan cemas dan untuk mencapai matlamat mereka bagi mempunyai seorang pembantu pertolongan cemas di setiap kediaman.

    Sebagai rakan kongsi dalam perkembangan, beliau menyatakan bahawa BIBD berbangga dapat menyokong PBSM kerana ia amat selaras dengan nilai-nilai mereka sendiri yang termaktub dalam Maqasid Syariah yang antara lain berhubung dengan perlindungan dan pemuliharaan kehidupan.

    Haji Mohammad Yusri menambah bahawa ini merupakan kali pertama acara seumpamanya diadakan bagi Hari Pertolongan Cemas Sedunia di Brunei yang diisi dengan kegiatan dan pameran di luar daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.

    Beliau berharap untuk menggalakkan lebih ramai orang awam untuk belajar mengenai pertolongan cemas serta menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya untuk mempunyai ilmu pengetahuan pertolongan cemas supaya dapat menjana komuniti yang lebih sihat dan selamat.

    Beliau berkata lagi, Hari Pertolongan Cemas Sedunia merupakan sebahagian daripada sokongan BIBD ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), khususnya Matlamat 3, dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan yang baik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...