PBSM sasar budayakan aspek keselamatan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Dengan sasaran untuk melahirkan seorang first aider dalam sebuah rumah dan membudayakan keselamatan dalam masyarakat di negara ini, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam merasmikan akademi dan ibu pejabat pentadbirannya sendiri di Kampung Bunut hari ini.

Perasmian akademi dan ibu pejabat berkenaan disempurnakan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof yang juga selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

Presiden Bulan Sabit Brunei Darussalam, Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim dalam ucapannya, menekankan bahawa dalam Pelan Strategik PBSM 2020-2025, ia mahu membudayakan aspek keselamatan dalam masyarakat dengan usaha melahirkan sekurang-kurangnya seorang first aider dalam sebuah rumah.

Sasaran jangka panjang pula ialah untuk merealisasikan hasrat satu rumah atau satu keluarga untuk mempunyai seorang first aider menjelang 2035.

“Kita tidak perlu menjadi seorang pakar perkhidmatan pertolongan cemas atau mempunyai pensijilan yang diiktiraf untuk membantu menyelamatkan nyawa seseorang yang terlibat dalam kemalangan, kecederaan dan sakit secara tiba-tiba,” kata Haji Muhammad Suhaimi yang menggalakkan masyarakat untuk mempelajari asas pertolongan cemas untuk diguna pakai dalam menghadapi situasi kecederaan kecil mahupun sakit kronik yang datang secara tiba-tiba seperti serangan jantung dan sebagainya.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi mendengar penerangan mengenai latihan pertolongan cemas daripada salah seorang ahli PBSM sejurus perasmian akademi dan ibu pejabat pentadbirannya di Kampung Bunut, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib menandatangani plak sempena perasmian berkenaan. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Menurutnya lagi, Akademi Bulan Sabit Merah yang ditubuhkan pada 2016 menawarkan pelbagai modul latihan dan sukatan pembelajaran pertolongan cemas mengikut standard dan piawaian antarabangsa.

Kemahiran dalam tindak balas pertolongan cemas terutama apabila menghadapi kecederaan dan kemalangan dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan teruk daripada kematian serta merta.

Ini, jelas Haji Muhammad Suhaimi, sejajar dengan hasrat persatuan dalam menyokong inisiatif Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menerusi MKKJR untuk mengurangkan risiko kecederaan teruk dan kematian serta merta berdasarkan teras utama 5’E’ iaitu Engineering, Enforcement, Education, Environment dan Emergency Response.

Dengan adanya pejabat berkenaan, Akademi Bulan Sabit Merah dan Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM akan dapat ditadbir dengan sempurna dan lebih fokus dalam merancang, melaksanakan serta merealisasikan hala tuju persatuan.

Ibu pejabat kebangsaan persatuan itu mempunyai ruang pejabat dilengkapi dengan kelas latihan, ruang amali, ruang pameran pertolongan cemas, bilik mesyuarat dan bilik
pentadbiran.

Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian akreditasi program latihan pertolongan cemas kepada Brunei Asia Pacific Shell Learning Hub, Royal Brunei dan Ashcore Sdn Bhd, dan juga penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan PBSM berhubungkait dengan program latihan pertolongan cemas dan keselamatan di tempat kerja, penyediaan perkhidmatan kecemasan awam dan pelbagai inisiatif kemanusiaan antara kedua-dua pihak.