PBSM serah pelbagai peralatan PPE kepada Jabatan Penjara

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Dalam berganding bahu meringankan beban pihak berkepentingan berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam telah menyampaikan sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Jabatan Penjara, baru-baru ini.

Sumbangan berupa 50 pelindung muka, 30 kotak sarung tangan, 100 pasang apron, 100 pasang kot makmal, 20 kotak pelitup muka jenis K95, 30 kotak pelitup muka perubatan dan 100 gaun pembedahan itu telah disampaikan oleh Naib Presiden, Projek Khas PBSM, Pengiran Haji Mashor bin Pengiran Haji Jaya kepada Penolong Penguasa Penjara, Awang Ilham bin Haji Mohamed di Ibu Pejabat Kebangsaan, Pusat Operasi COVID-19 PBSM, Pejabat Pos Bunut.

PBSM sebagai pasukan bantuan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu menangani wabak COVID-19 telah dilantik oleh Kementerian Kesihatan untuk menjadi Badan Koordinasi Sukarelawan di bawah Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC).

Pengiran Haji Mashor menyerahkan sumbangan PBSM kepada Awang Ilham. – Gambar serahan PBSM Brunei Darussalam