PBSM sumbang 270 pek makanan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sebanyak 270 pek makanan disumbangkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam kepada kempen Sumbangan Pandu Lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Hadir bagi menghulurkan sumbangan ialah ahli Majlis Kehormat PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah.

Manakala hadir bagi menerima derma tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Kemasyarakatan), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Pek makanan yang disumbangkan termasuk beras, minyak masak, gula dan makanan kering dari persatuan tersebut.

Sebagai usaha berterusan untuk membantu dan mengalinga masyarakat yang memerlukan semasa penularan wabak COVID-19 ini, pihak penganjur menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama membantu dengan memberikan sumbangan melalui Kempen Sumbangan Pandu Lalu ini.

Sumbangan yang diperlukan dalam kempen ini adalah makanan asasi seperti beras, gula, makanan dalam tin, mi segera, teh, milo, kopi, telur, biskut, air mineral, ubi kentang dan minyak masak. Selain itu, barang-barang lain seperti lampin pakai buang dan susu tepung formula bagi anak damit di bawah umur lima tahun juga diperlukan.

Untuk makluman orang ramai yang ingin memberikan sumbangan, kempen ini diadakan setiap hari iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8:30 pagi sehingga 2 petang.

Manakala Jumaat dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari dan disambung semula pada pukul 2 hingga 3 petang dan Ahad dibuka pada 9 pagi sehingga 3 petang.

Kempen bertujuan bagi membantu pihak kerajaan untuk menghulurkan sumbangan berupa barang-barang asasi bagi masyarakat yang memerlukan semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Dayang Saidah semasa menerima sumbangan daripada Haji Mohd Yusri.