PBSM terima sumbangan Takaful Brunei Am

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd turut tidak ketinggalan untuk tampil menghulurkan sumbangan pelbagai keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM).

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung di pusat operasi kecemasan COVID-19 PBSM di Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei hari ini yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Korporat, Syarikat Takaful Brunei Am, Awang Mohammad Nazmi bin Haji Souyono kepada Timbalan Presiden Polisi dan Kewangan PBSM Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar.

Antara barangan keperluan yang disumbangkan oleh Takaful Brunei Am ialah, pelitup muka, pelindung muka, baju PPE, sarung tangan, apron dan cecair pensanitasi tangan.

Dengan adanya sumbangan itu akan dapat membantu meringankan beban untuk meneruskan operasi yang dijalankan keempat-empat daerah di bawah kendalian PBSM.

Selain itu, sumbangan PPE juga akan diagih-agihkan kepada masyarakat yang memerlukan terutama sekali kepada pekerja asing yang tinggal setempat bagi mengelakkan penularan wabak COVID 19 berlaku.

PBSM mengalu-alukan badan-badan dan syarikat korporat untuk sama-sama menyalurkan sumbangan bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat wabak COVID-19 pada masa ani.

Sehubungan itu, persatuan berkenaan juga aktif dalam menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan sokongan kepada masyarakat terutama sekali dalam sama-sama membendung wabak COVID-19.

Sumbangan tersebut dihasratkan untuk dapat meringankan bebanan kos penyediaan peralatan keperluan kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan PBSM yang sedang aktif membantu pengawalan dan pencegahan wabak COVID-19 di seluruh negara di bawah Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Penyerahan sumbangan kepada PBSM dari Syarikat Takaful Brunei Am. – Gambar serahan Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd