PDB, AMBD jayakan kempen cegah jenayah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Sebagai salah satu inisiatif menjayakan Kempen Pencegahan Jenayah dan Kempen Kenali Mata Wang Awda, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengadakan lawatan ke Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA, Kampung Salambigar, hari ini.

Semasa lawatan itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Mohammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad telah menyerahkan risalah Pencegahan Jenayah kepada Penasihat Persatuan TIBA (KOTIBA), Haji Gharif bin Dato Seri Laila Haji Samat berserta pengarah KOTIBA.

Risalah juga telah diagihkan kepada pelanggan yang disempurnakan oleh pegawai dari Daerah Polis Brunei dan Muara. Kemudian, acara diikuti dengan sesi perkongsian maklumat mengenai ciri-ciri mata wang Negara Brunei Darussalam kepada petugas di stesen minyak tersebut.

Sesi interaktif yang disampaikan oleh pegawai AMBD yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Eksekutif, Pengiran Maslina binti Pengiran Haji Mahmud kepada petugas di stesen minyak tersebut menjurus kepada perkongsian cara-cara mengesan dan mengenal pasti mata wang asli dan palsu ketika menerima pembayaran.

Turut hadir semasa taklimat tersebut ialah pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, pegawai menguasa Balai Polis Berakas, ahli-ahli pengawasan kejiranan dan kakitangan Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA.

Penolong Penguasa Polis Haji Mohammad Hassan menyerahkan risalah Pencegahan Jenayah kepada Haji Gharif semasa melawat Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA di Kampung Salambigar, kelmarin.

PDB seterusnya menekankan pentingnya menjaga keselamatan pekerja, pengurusan dan pelanggan apabila berhadapan dengan pemilik mata wang yang palsu atau tidak tulen.

Pesanan utama PDB semasa kempen berkenaan adalah keselamatan petugas dan menyarankan syarikat dan persatuan untuk memasang CCTV berkualiti tinggi yang meliputi mana-mana tempat berlakunya transaksi antara pekerja dan pelanggan yang boleh membantu dalam siasatan polis.

Kempen berobjektif untuk berkongsi pengetahuan mengenai tatacara menangani jenayah yang sering dilaporkan dan juga bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai mata wang Negara Brunei Darussalam dengan memperkenalkan ciri-ciri keselamatan mata wang Negara Brunei Darussalam dan juga tindakan yang perlu diambil apabila mengesan mata wang palsu dan tidak tulen.

Dalam perkongsian risalah pencegahan jenayah, PDB berharap orang awam akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka mengenai jenayah-jenayah yang boleh dicegah di samping itu, dapat mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.