Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) amat prihatin atas kebajikan setiap pegawai dan anggota polis termasuk keluarga mereka serta sebagai satu pasukan yang prihatin, bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi membantu anggota yang memerlukan.
Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dalam ucapan ringkasnya semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Anak-anak Polis Bagi Tahun 2015 dan 2016, Insurans Takaful Berkelompok dan Bantuan Kebajikan yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, Polis Gadong, hari ini.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy turut menyatakan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang anak-anak polis yang diraikan dan menerima anugerah di majlis berkenaan serta berharap mereka akan terus berusaha untuk mendapatkan keputusan akademik yang cemerlang.
Di majlis berkenaan, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy menyempurnakan penyampaian hadiah kepada seramai 35 orang pelajar cemerlang iaitu seramai 10 orang pelajar menerima hadiah pelajar cemerlang bagi 2015 dan 25 orang lagi pelajar menerima hadiah pelajar cemerlang bagi 2016.




Pelajar-pelajar yang diraikan dan menerima hadiah berkenaan merupakan pelajar yang mendapatkan keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Peringkat ‘A’, Peringkat ‘O’, Penilaian Sekolah Rendah dan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama.
Majlis diteruskan dengan penyampaian Insurans Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok bagi anggota dan juga waris anggota PDB yang disampaikan kepada seorang anggota polis dan 14 orang waris anggota PDB.
Majlis turut menyaksikan Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy menyempurnakan penyampaian sumbangan peralatan bantuan kebajikan dan derma yang melibatkan kehilangan upaya kepada tiga orang anggota Polis Bantuan PDB.