PDB, TLDB anjur Eksesais Sembilang

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) bersama Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah melaksanakan Eksesais SEMBILANG bagi siri ke-14/2019 pada 7 hingga 10 Oktober lalu.

Eksesais pada tahun ini dianjurkan oleh Polis Marin dan antara aset yang terlibat adalah PDB 105 yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Kapal, Insp Abdul Hafizazuddin bin Haji Abdul Wahab.

Manakala itu, KDB AFIAT daripada TLDB diketuai oleh Pegawai Pemerintah Kapal, Leftenan Komander Haji Abdul Hafiz Mubarak bin Haji Rusli.

Kedua-dua aset tersebut telah membuat pelayaran ke sekitar Teluk Brunei bagi menjalankan Latihan Rondaan, Latihan Penundaan dan juga Latihan Penggeledahan yang diketuai oleh Grup Tindakan Permukaan Laut, TLDB.

Eksesais bertujuan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua buah agensi, terutamanya dalam kerjasama maritim serta perkongsian tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan maritim dan integriti perairan Negara Brunei Darussalam.

Antara anggota kedua-dua buah pasukan semasa majlis penutup eksesais tersebut.
Anggota polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei bersama anggota Tentera Laut Diraja Brunei telah melaksanakan Eksesais SEMBILANG bagi siri kali ke 14/2019.

Ia juga sejajar dalam mendokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam konteks pendekatan seluruh negara.

Perasmian eksesais berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, PDB, Penguasa Kanan Polis, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah pada majlis yang diadakan di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat PDB Jalan Tungku Gadong.

Sementara itu, majlis penutup rasmi yang diadakan di tempat sama pada 10 Oktober telah dihadiri oleh Pemerintah Armada, Tentera Laut Diraja Brunei, Kapten Norshahrinizam bin Haji Talib, TLDB selaku tetamu kehormat.

Dengan latihan bersama seperti ini kedua-dua buah agensi akan dapat mempertingkatkan lagi kesefahaman dalam melaksanakan operasi-operasi sepadu maritim dari aspek perisikan, rondaan dan gerakan bersama.

Selain itu, eksesais ini juga akan dapat mempertingkatkan keberkesanan dalam pencegahan jenayah yang menyalahi undang-undang maritim Negara Brunei Darussalam.