PDI anjur majlis dikir bersama mualaf

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mua-laf (Pengupayaan Mualaf) semalam telah mengadakan Majlis Dikir sempena Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1443H/2021M bersama mualaf di Daerah Brunei dan Muara secara maya melalui aplikasi Zoom.

Tema bagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1443H ialah ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’. Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh pengarah PDI selaku ketua rombongan majlis, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Majlis diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Dayang Nur Huwaina binti Mahmud, yang bertajuk ‘Mencintai Rasulullah SAW Teladan Ummah Sepanjang Zaman’ diikuti de-ngan acara Dikir Syarafil Anam.

Antara kandungan tazkirah yang disampaikan adalah umat Islam boleh menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan selawat kepada Baginda dan menghidupkan amalan sunnah dalam kehidupan seharian.

Akhlak Nabi Muhammad SAW adalah akhlak yang patut dicontohi dan dijadikan sebagai role model bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Turut serta dalam majlis tersebut ialah Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, Ketua Kampung Bebuloh, Awang Said bin Tundak dan penduduk kampung, Persatuan Nurul Islam, Peserta Kelas Bimbingan Mualaf serta pegawai-pegawai dan kakitangan PDI.

Selain memeriahkan sambutan dan memperingati Maulud Nabi Muhammad SAW, majlis itu bertujuan sebagai salah satu saranan dakwah untuk mengajak para mualaf bagi menghayati serta menanam minat mereka dalam sama-sama meraikan hari-hari kebesaran Islam. Majlis ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara yang dibacakan oleh Bilal Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Awang Saifullah bin Haji Mohd Sofian. 

Haji Abdul Rajid bersama peserta lain semasa majlis dikir sempena Maulud Nabi Muhammad SAW yang diadakan secara maya. – Gambar serahan PDI