PDI lancar Program Siri Tafsir Al-Quran 3.0 online

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Sebagai salah satu cara bagi menghidupkan Ramadan dengan mengikuti majlis ilmu berkenaan Al-Quran, Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah melaksanakan Program Siri Tafsir Al-Quran 3.0, baru-baru ini.

Di bawah program berkenaan, Prof Madya Dr Haji Abdurrahman Raden Aji Haqqi telah membincangkan tajuk ‘Ciri-ciri ’Ibaadurrahman’ petikan Surah Al-Furqan, ayat 63 – 77, yang disiarkan secara online menerusi akaun Instagram dan Facebook rasmi Belia Da’ie, pada 29 April lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Belia Daie, antara pengisian yang telah disampaikan ialah tentang perkataan ‘Ibadurrahman yang terbahagi kepada dua iaitu Hamba dan Ar-Rahman.

Beliau menjelaskan, Ar-Rahman (Sifat Allah: Yang Maha Penyayang) adalah suatu panggilan yang sangat lembut kepada hamba-hambaNya agar yang mendengar akan merasa tenang dan dekat.

Seterusnya, beliau juga menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan 13 sifat atau ciri- ciri hamba Ar-Rahman berserta kisah-kisah yang boleh diamalkan dan dijadikan contoh dalam kehidupan seharian.

Prof Madya Dr Haji Abdurrahman Raden Aji Haqqi ketika membincangkan tajuk ‘Ciri-ciri ’Ibaadurrahman’ yang disiarkan secara online menerusi akaun Instagram dan Facebook rasmi Belia Da’ie.

Kenyataan menyatakan, program berkenaan merupakan inisiatif bagi menyokong saranan kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk tetap menjaga penjarakan sosial dan fizikal, memandangkan keadaan Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia.

Program majlis ilmu tersebut juga diharapkan agar dapat mendidik masyarakat mempelajari bidang tafsir Al-Quran secara intensif serta mendalami dan memahami makna-makna yang terkandung dalam Al-Quran atau istilah Arabnya, tadabbur.

Selain itu, ia juga sebagai program susulan bagi alumni Akademi Dakwah khususnya untuk memantapkan lagi kefahaman dan amalan terhadap Al-Quranul Karim.

Kuliah tafsir secara penuh boleh didapati menerusi akaun Facebook rasmi Belia Da’ie.
Program tersebut bakal diteruskan lagi pada setiap Rabu sepanjang Ramadan ini bersama penceramah-penceramah bertauliah dengan tajuk-tajuk yang menarik.

Orang ramai daripada pelbagai peringkat umur berserta pelajar-pelajar sekolah adalah dialu-alukan untuk mengikuti Instagram dan Facebook rasmi Belia Da’ie.