PDI semarak Maulidur Rasul bersama mualaf di pedalaman

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Bagi meningkatkan penghayatan beragama dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Bahagian Pembangunan Mualaf menerusi Pengupayaan Mualaf, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sekali lagi mengungkayahkan rombongan berdikir bersama mualaf di kawasan pedalaman di keempat-empat daerah.

Hari ini, rombongan PDI mengadakan majlis dikir bersama mualaf berserta penduduk sekitar Kampung Bebuloh di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara.

Hadir mengetuai rombongan tersebut ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari selaku ketua Kampung Limau Manis; Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar; Pegawai Ugama Kanan, Awang Ruslan bin Haji Sulaiman; Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas tingkat I, Awang Ali Hassan bin Mohd Said; Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, pegawai dan kakitangan daripada Urus Setia Program Keugamaan Belia dan Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh ketua rombongan dan diikuti dengan tazkirah bertajuk

Haji Abdul Rajid mengetuai rombongan PDI pada majlis berdikir di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, kelmarin.
Antara yang menghadiri majlis berdikir bersama mualaf di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh.

‘Rasulullah Suri Teladan Ummah’ oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Isham bin Ismail.

Sejurus itu, Dikir Assalammualaika dibawakan oleh pegawai dan kakitangan PDI dan Dikir Alhamdulilah dibawakan oleh rombongan Kampung Batang Mitus manakala itu, Dikir Marhaban dibawakan oleh rombongan pendikir Kampung Batong.

Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara dibacakan oleh Pemangku Bilal Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Awang Saifullah bin Haji Mohd Sophian.

Acara diteruskan lagi dengan penyerahan wakaf Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya kepada imam Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara yang disempurnakan oleh Haji Abdul Rajid.

Rombongan berdikir ke pedalaman merupakan aktiviti atau program tahunan PDI yang bertujuan untuk menggalakkan para mualaf melibatkan diri dan mengikuti aktiviti keagamaan bagi sama-sama menyemarakkan sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.