PdPR: Sabah pertimbang beri peranti elektronik untuk pelajar

PENAMPANG, 26 JAN – Kerajaan Negeri Sabah sedang mempertimbang memberi peranti elektronik kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri itu sebagai kemudahan untuk mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri amat memahami kekangan serta cabaran dihadapi ibu bapa di negeri ini dalam menyediakan keperluan itu demi memastikan keselesaan pembelajaran anak-anak.

“Kami faham ramai pelajar kurang berkemampuan di Sabah menghadapi masalah ini (pemilikan peranti elektronik),” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan jalan runtuh di KM44.7 Jalan Penampang-Tambunan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah kerajaan negeri untuk menangani masalah pemilikan peranti elektronik dalam kalangan pelajar di Sabah yang kini menjalani sesi PdPR serta usaha meningkatkan keupayaan liputan internet di negeri itu.

Tahun lepas, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata sebanyak 52 peratus pelajar di negeri itu tidak mempunyai akses internet dan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan komputer untuk mengikuti sesi PdPR dalam talian. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor ketika melakukan lawatan di lokasi jalan runtuh di kilometer 45.7 Jalan Penampang-Tambunan, kelmarin. – Bernama