PDRM Sabah dapat gelanggang futsal

KOTA KINABALU, 1 Jan – Kesudian Kementerian Belia dan Sukan, Sabah memberi peruntukan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membina sebuah gelanggang futsal sendiri memperlihatkan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Selain itu, menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata kelulusan sebanyak RM150,000 itu juga sebagai tanda penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan negara, khususnya di Sabah.

“Ini pertama kali kementerian di peringkat negeri memberi peruntukan projek untuk kegunaan agensi persekutuan kerana langkah ini boleh mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan pusat.

“Saya berharap gelanggang ini dapat memanfaatkan anggota PDRM dan keluarga mereka mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang futsal berbumbung itu di sini hari ini. – Bernama