Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PDRM sabah perlu RM12 juta selenggara aset

    PAPAR, 21 Ogos – Polis Kontinjen Sabah memerlukan kira-kira RM12 juta bagi menyelenggara dan membaiki aset laut dan darat yang diperlukan dalam pengoperasian harian, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

    Beliau berkata daripada anggaran itu, sebanyak RM10 juta diperlukan untuk menyelenggara dan memperbaiki aset di laut manakala RM2 juta lagi untuk aset darat.

    Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon Kementerian Dalam Negeri supaya membantu menyalurkan peruntukan tambahan bagi memastikan kesiapsiagaan PDRM sentiasa di tahap tinggi.

    “Aset yang amat diperlukan adalah bot untuk digunakan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin dalam penugasan di pantai timur Sabah.

    “Kenderaan darat juga perlu dibaiki bagi tujuan keselamatan dan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerjanya ke Sabah di sini, hari ini.

    Zulkifli berharap peruntukan tambahan itu dapat disalurkan secepat mungkin agar kerja menyelenggara dan membaiki aset PDRM di Sabah dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

    “Kita berharap dapat menggunakan aset-aset sepenuhnya dengan mengambil kira keadaan Sabah yang unik sedikit kerana ancaman masih ada daripada kumpulan pengganas dari negara jiran

    “Jadi, kita tidak boleh berkompromi dari segi kecepatan PDRM untuk memberi respons kepada sesuatu masalah,” jelasnya.

    Mengenai tahap keselamatan di Sabah, Zulkifli berpuas hati dengan usaha gigih polis kontinjen negeri dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

    Beliau berkata kerjasama berterusan PDRM dengan polis Filipina dan Indonesia turut menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan di negeri ini.

    Dalam pada itu, Zulkifli memohon pertimbangan kerajaan supaya melihat semula cadangan PDRM mewujudkan satu batalion PGA baharu di Kunak bagi memantapkan lagi keselamatan di negeri ini khususnya di pantai timur.

    Menurutnya susulan insiden pencerobohan kumpulan pengganas di Lahad Datu pada 2013, pasukan bantuan PGA dari Semenanjung dan Sarawak dihantar ke Sabah bagi menangani masalah kekurangan keanggotaan di negeri ini.

    Selain itu, katanya, PDRM sedang meneliti latihan yang diperlukan untuk pegawai dan anggota PGA bersesuaian dengan keperluan semasa terutamanyan dalam menangani ancaman baharu.

    Terdahulu, Zulkifli mendengar taklimat mengenai perkembangan keselamatan di Sabah daripada Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Ramli Din dan operasi PGA Briged Sabah oleh komandernya SAC Zanuddian Samsu Hadi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda