KUALA LUMPUR, 15 MEI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di Internet daripada pihak berkuasa antarabangsa sejak enam tahun lepas.
Bagaimanapun akibat kekurangan tenaga kerja, jumlah tangkapan dan pemeriksaan yang dilakukan jauh lebih kecil daripada itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) ACP Siti Kamsiah Hassan berkata sejak 2017 hingga Mac tahun ini, PDRM menerima 93,368 alamat IP yang disyaki terlibat melakukan kegiatan itu daripada sistem perkongsian maklumat yang dianggotai antaranya Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploited Children.
Beliau berkata berikutan kekangan kakitangan terlatih untuk menapis dan meneliti maklumat diterima itu, hanya 103 alamat IP diperiksa yang membawa kepada penangkapan 50 individu. – Bernama