PDS tekad penuhi keperluan daging negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – PDS Abattoir Sdn Bhd, salah sebuah pusat penyembelihan lembu di Negara Brunei Darussalam bertekad untuk meningkatkan pengeluarannya ke arah memenuhi keperluan bulanan daging bagi seluruh negara semasa penularan wabak COVID-19.

Dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan daging dalam bulan-bulan yang mendatang, PDS Abattoir Sdn Bhd akan menggunakan kemudahan bangunan feedlot yang baharu dibina di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batang Mitus untuk menyimpan lembu-lembu yang akan tiba di negara ini.

Kemudahan bangunan feedlot yang baharu itu pada awalnya dirancang untuk digunakan bagi membesarkan lembu muda yang dibawa masuk ke Brunei dan kemudahan feedlot yang dalam fasa satu projek berkenaan boleh menempatkan sehingga 2,000 ekor lembu manakala fasa kedua dan ketiga yang sedang dalam proses pembinaan mampu menampung kapasiti penyimpanan sehingga 4,000 ekor.

Apabila siap pembinaan projek berkenaan, PDS Abattoir Sdn Bhd berkeupayaan untuk menyimpan sehingga 7,000 ekor lembu pada satu masa.

Perkembangan terkini PDS Abattoir Sdn Bhd dalam membantu negara untuk memenuhi permintaan daging berkenaan didedahkan oleh Pengurus Besar PDS Abattoir Sdn Bhd, Haji Muhammad Sabirin bin Othman semasa temu ramah di tapak Projek Feedlot, KKP Batang Mitus, hari ini.

Haji Muhammad Sabirin (dua dari kanan) bergambar ramai dengan pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta PDS di feedlot baharu PDS di KPP Batang Mitus, kelmarin.

Haji Muhammad Sabirin menjelaskan lagi bahawa projek feedlot itu akan membolehkan syarikatnya meningkatkan lagi kapasiti penyembelihan kepada 8,000 ekor lembu dalam fasa pertama, meningkat kepada 16,000 dalam fasa kedua dan kepada 24,000 pada fasa ketiga.

Peningkatan kapasiti itu, jelasnya, akan membolehkan PDS untuk memainkan peranan yang lebih besar di pasaran tempatan dalam mengurangkan kebergantungan negara kepada daging import serta akan membolehkan PDS untuk menerokai pasaran luar negara.

Mengulas mengenai konsep pem-besaran lembu dibandingkan membawa masuk lembu untuk disembelih, Haji Muhammad Sabirin menerangkan bahawa kebiasaan lembu akan dibawa masuk ke dalam negara dan sedia untuk disembelih.

Namun dengan PDS Abattoir diberikan tanah seluas 55 hektar di Kampung Batang Mitusi mampu untuk mencapai berat optimum daripada lembu ternakan berkenaan. Dalam erti kata lain, PDS akan mula untuk mengimport lembu yang muda pada harga lebih rendah dan memberikan tempoh sehingga 90 hari bagi lembu berkenaan untuk diberi makan serta meningkatkan beratnya.

Beliau menerangkan lanjut bahawa feedlot berkenaan sepatutnya bermula pada Mei 2020 tetapi pihaknya telah mengambil keputusan untuk menangguhkannya disebabkan COVID-19.

Disebabkan COVID-19, daging beku tidak akan dapat masuk ke Brunei kerana penguat kuasa pemeriksa dari Brunei tidak dapat ke luar negara untuk memeriksa penyembelihan daging berkenaan di mana penggunaan daging beku di Brunei sebanyak kira-kira 70 peratus, pihak PDS perlu untuk memastikan terdapat bekalan yang mencukupi.

Ke arah itu, strategi utama PDS adalah untuk pembekalan pasaran Brunei semasa wabak COVID-19 dengan menggunakan kawasan feedlot untuk menempatkan lembu yang akan disembelih secara sementara sehingga keadaan pulih.

Beliau turut mendedahkan bahawa pada 1 Mei nanti, kumpulan pertama sebanyak 700 ekor lembu akan tiba di mana PDS akan menyembelih sebanyak 80 ekor lembu sehari.

Dengan peningkatan pengeluaran untuk memenuhi keperluan di seluruh negara, ia juga telah menjana peluang pekerjaan di mana seramai 30 hingga 40 orang pekerja baharu dijangka akan mula bekerja dalam bulan-bulan yang akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan kepada syarikat tempatan, Haji Muhammad Sabirin berkata bahawa sokongan kepada produk tempatan bukan sahaja akan menyediakan peluang perniagaan tetapi ia juga akan memupuk inovasi, pembangunan produk dan keupayaan kawalan kualiti dalam kalangan syarikat tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Selain daripada menyokong pekerjaan tempatan, ulasnya lagi, ia juga akan menyediakan platform bagi syarikat-syarikat di Brunei untuk meneroka ke pasaran eksport.