Pecah amanah, kena 20 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Seorang wakil jualan syarikat dijatuhkan hukuman 20 bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan di sini, kerana melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah $5,397 pada 2016.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap Kueh Lee Hong, 53, yang mengaku bersalah menggelapkan wang syarikat dalam empat transaksi pada 2016.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh menerima hasil jualan berjumlah $5,397 antara 8 Jun dan 18 Ogos 2016 daripada pelanggan syarikat, dan wang yang diterima itu tidak diserahkan kepada juruwang syarikat.

Perbuatan tertuduh hanya terbongkar apabila salah seorang pekerja syarikat menghubungi pelanggan syarikat untuk menanyakan mengenai jumlah pembayaran yang tertunggak mengikut invois jualan.

Siasatan dalaman terus dijalankan sebaik pelanggan memaklumkan bahawa mereka telah menjelaskan pembayaran.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.