BERLIN, 23 MEI – Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski berkata ia terasa seperti dalam ‘filem sains fiksyen’ selepas menjaringkan gol ke-41 di Bundesliga pada musim ini untuk memintas rekod berusia 49 tahun milik Gerd Mueller, rekod gol liga Jerman bagi satu kempen.
Lewandowski meledak gol pada minit ke-90 semasa kemenangan Bayern 5-2 di laman sendiri ke atas Augsburg untuk menyamai rekod 40 gol, yang dicipta pada musim 1971/1972, minggu lalu.
Lewandowski memecahkan rekod Mueller dengan menggelecek penjaga gawang Augsburg untuk menjaringkan gol.
“Saya terpaksa menunggu selama 90 minit dan kemudian hadir pada beberapa saat terakhir,” Lewandowski memberitahu Sky selepas pusingan akhir perlawanan.
“Terasa seperti berada di dalam filem sains fiksyen. Tidak terkata.

“Saya nampak Leroy membuat percubaan gol. Saya terus percaya dan bernasib baik bola terlantun.”
Lewandowski merangkul rekod selepas enam percubaan terdahulu diselamatkan ketika Bayern menjulang trofi Bundesliga setelah wisel penamat untuk musim kesembilan berturut-turut.
Mereka menamatkan musim ini 13 mata di hadapan pencabar lain.
“Saya sedikit kecewa kerana tidak menjaringkan gol lebih awal, tetapi sesuatu seperti rekod ini mesti diperjuangkan,” tambah Lewandowski.
“Saya bersabar dan terus percaya sehingga penghujungnya. Saya berterima kasih kepada pasukan saya, mereka berkongsi rekod bersama sama.
“Ini sesuatu yang sangat istimewa, momen bersejarah dalam karier saya.”
Ini merupakan perlawanan terakhir buat ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick, yang akan digantikan oleh pengurus Leipzig, Julian Nagelsmann musim hadapan setelah memenangi tujuh kejuaraan dalam tempoh 18 bulan kebelakangan.
“Saya akan merindui mereka,” kata Flick, yang disebut-sebut sebagai pengganti Joachim Loew untuk menguruskan pasukan kebangsaan Jerman selepas final Euro 2020. – AFP