Pedofilia dihukum penjara 8 tahun, lima sebatan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Seorang pedofilia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, setelah mendapatinya bersalah selepas perbicaraan atas tuduhan melakukan pencabulan seksual kepada beberapa kanak-kanak lelaki bawah umur.

Hukuman terhadap Dayemo @ Abdul Aziz bin Haji Moktal dijatuhi Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Mahkamah mendapati pembelaan tertuduh juga merupakan penafian semata-mata dan mahkamah tidak mempercayainya,” kata Majistret Kanan Lailatul semasa mensabitkan tertuduh bersalah. Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 2015.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwa memanggil tujuh saksi untuk membuktikan kes terhadap tertuduh.

Sebelum menerima hukuman, tertuduh antara lain merayu untuk hukuman diringankan dan diberi pertimbangan.

Mahkamah bagaimanapun mengambil kira faktor yang memburukkan lagi kes iaitu kesalahan itu dirancang, mengkhianati kepercayaan yang diberikan dengan mengambil kesempatan daripada kelemahan mangsa dan mangsa terpaksa melalui pengalaman yang tidak menyenangkan semasa memberi keterangan di mahkamah.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo.