Thursday, June 8, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Pedri raih Trofi Kopa, Donnarumma penjaga gol terbaik

    PARIS, 30 NOV – Bintang muda Sepanyol, Pedri memenangi Trofi Kopa untuk pemain terbaik bawah 21 tahun pada majlis Anugerah Ballon d’Or manakala Gianluigi Donnarumma dari Itali merangkul gelaran penjaga gol terbaik.

    Pedri yang juga pemain tengah Barca dan mencecah usia 19 tahun Khamis lalu, adalah tonggak dalam kejayaan Sepanyol mara ke separuh akhir Kejuaraan Eropah dan final Olimpik di mana mereka tewas kepada Brazil di Tokyo.

    Pedri turut beraksi dalam 52 perlawanan untuk Barcelona, membantu mereka memenangi Piala Raja Sepanyol.

    Dia yang menyertai Barca dari Las Palmas tahun lalu, baru saja melanjutkan kontrak di Camp Nou sehingga tahun 2026.

    Trofi Kopa dinamakan sempena Raymond Kopa, bintang Real Madrid dan Perancis yang memenangi Ballon d’Or pada tahun 1958.

    Penyerang Perancis, Kylian Mbappe adalah pemenang sulung trofi berkenaan pada tahun 2018, dan pemain Juventus Matthijs de Ligt dari Belanda memenanginya pada 2019.

    Donnarumma mengungguli Trofi Yashin sebagai penjaga gol terbaik selepas persembahan cemerlangnya ketika membantu Itali menjuarai Euro 2020.

    Pemain berusia 22 tahun itu meninggalkan AC Milan untuk menyertai Paris Saint-Germain.

    Bintang Liverpool, Alisson dari Brazil adalah pemenang pertama anugerah berkenaan pada tahun 2019, yang dinamakan sempena ikon Rusia, Lev Yashin. – AFP

    Pedri (ATAS ) dan Donnarumma menyampaikan ucapan selepas menerima Trofi Kopa dan penjaga gol terbaik masing-masing semasa majlis anugerah Ballon d’Or 2021 di Theatre du Chatelet di Paris pada 29 November. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia haram simbol Nazi

    SYDNEY, 8 JUN - Australia pada hari Khamis mengumumkan ia akan melarang pameran awam simbol Nazi, ketika negara itu bergumul dengan kumpulan kecil ekstremis...
    - Advertisment -