Pedrinho bayar semula kepercayaan kelab

PARIS, 18 OGOS – Pembelian baharu Shakhtar Donestk, Pedrinho menghadiahkan kemenangan 1-0 buat pasukannya ketika menentang Monaco kelmarin dalam pertemuan pusingan playoff Liga Juara-Juara menjelang perlawanan timbal balik di Ukraine.

Pemain perancang Brazil itu menyertai Shakhtar dari Benfica bulan lalu dan menjaringkan gol kemenangan pada babak akhir separuh masa pertama.

“Kami bermain 25 minit yang menakjubkan. Kemudian kami kehilangan bola dan memberikan pihak lawan sedikit harapan,” kata jurulatih Shakhtar, Roberto De Zerbi.

“Objektif sekarang ialah untuk bermain 90 minit sama seperti 25 minit pertama kami bermain.”

Pedrinho, 23, yang ditandatangani oleh pasukan Ukraine dengan harga 18 juta euro, membayar semula kepercayaan yang diletakkan ke atasnya dalam masa 19 minit.

Reaksi Pedrinho menjaringkan gol bersama rakan sepasukan semasa pertemuan menentang Monaco dalam saingan playoff Liga Juara-Juara. – AFP

Dia membawa bola dari penjuru kotak penalti dan melepaskan kawalan daripada tiga pemain pertahanan sebelum menyudahkan bola menewaskan penjaga gol, Radoslaw Majecki menggunakan kaki kanan.

Pasukan tuan rumah mempunyai dua peluang baik untuk menyamakan kedudukan sebelum separuh masa tamat tetapi ketua pasukan, Wissam Ben Yedder dan pemain tengah, Aurelien Tchouameni gagal menewaskan Anatolii Trubin.

Trubin, 20, merupakan pemain yang tidak diturunkan dalam skuad Ukraine yang beraksi di Euro 2020, berulang kali membuat aksi menyelamat dan menghalang percubaan pemain sayap, Aleksandr Golovin, Ben Yedder dan pemain gantian, Myron Boadu.

“Trubin, pemain yang sangat muda, bermain dengan cukup baik, sama seperti pemain lain,” puji De Zerbi.

“Jika tidak, tidak mustahil kemenangan berpihak kepada Monaco.”

Jurulatih Monaco, Niko Kovac kekal positif selepas kekalahan tersebut dan mereka menyasarkan penampilan di peringkat kumpulan buat kali pertama sejak tewas lima daripada enam perlawanan di 2018/2019.

“Kami tidak boleh berputus asa dengan impian kami. Tiada sebab untuk tidak terus percaya. Kami mempunyai peluang malam ini.” – AFP