Peduli orang bawahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Dalam sebuah organisasi kementerian dan jabatan, kesejahteraan dan mengambil berat terhadap pegawai dan kakitangan bawahan mestilah dipedulikan secara berterusan.

Oleh itu, untuk menjadi pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berkepimpin-an tinggi, sudah semestinya berkait rapat dengan sejauh mana jalinan hubungan serta penerimaan orang bawahan terhadap kepimpinannya, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapannya semasa lawatan ke Jabatan Percetakan Kerajaan, hari ini.

“Justeru itu, kesejahteraan orang bawahan dalam segala aspek dari pelbagai sudut perlulah diambil perhatian oleh pihak pengurusan,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, “Janganlah sekali-kali mengabaikan kebajikan pegawai dan kakitangan bawahan kerana mereka ini umpama kaki yang boleh membawa ke mercu kejayaan; umpama tangan yang sudah kasar kerana sentiasa jarih dan berkarih menjayakan tugasan yang diberikan; serta umpama mata agar hala tuju pemimpin itu sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak terbabas serta lari daripada tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.”

Tambah beliau, secara holistik, setiap pegawai dan kakitangan yang bernaung di bawah sebuah organisasi sama ada mereka yang di peringkat atasan mahupun kakitangan bawahan, mereka semua merupakan pelaksana kerja di dalam organisasi berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti diberikan penerangan semasa lawatan ke Jabatan Percetakan Kerajaan.

“Jika semangat kerja di kalangan organisasi itu menurun, maka sudah tentunya akan terjejaslah mutu prestasi serta pencapaian yang akan dihasilkan dan akhirnya akan membawa kerugian besar kepada semua pihak,” menurut Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato juga menyarankan amalan dan budaya sikap keterbukaan dan syura kerana melalui amalan itu, banyak pandangan dapat diterima dan dilaksanakan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan jabatan walaupun ia datang daripada orang bawahan.

“Jangan rasa kesal, marah atau terasa tersinggung jika pandangan yang diberikan oleh orang bawahan bertentangan dengan fikiran kita. Malah jadikan ianya sebagai pandangan yang membina dan berguna untuk dijadikan rujukan dalam membuat keputusan,” jelas beliau.

“Ini kerana satu pandangan itu ibarat satu helai benang, jika ia dikumpulkan dan dijadikan satu, nescaya ianya teguh, kuat dan sukar untuk diputus,” tekannya.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa tahap percetakan yang berkualiti adalah sangat penting dan perlu diambil perhatian yang sewajarnya oleh pihak Jabatan Percetakan Kerajaan di mana ia meliputi kualiti gambar, warna dan artikel yang dicetak mestilah jelas serta berkualiti tinggi untuk dihidangkan kepada pembaca.

Pada masa yang sama, kualiti gambar yang rendah haruslah dielakkan, tegasnya lagi, serta menyeru Jabatan Percetakan Kerajaan untuk mengambil perhatian akan perkara itu dengan serius dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan keluaran yang dicetak dalam keadaan baik serta berkualiti tinggi dan lulus daripada pemantauan kawalan kualiti.

“Dalam hal berkaitan, untuk menghasilkan pencetakan yang berkualiti tinggi, ia berkait rapat dengan mesin-mesin percetakan yang sedia ada. Dalam hal ini, mesin-mesin cetak ini mestilah dijaga dengan baik dan teratur,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato menjelaskan ia termasuk kerja-kerja pemeliharaan mesin-mesin percetakan seperti alat ganti mesin mestilah dirancang dan dilaksanakan mengikut jadual secara berterusan sebagai langkah bagi menggelakkan mesin berkenaan mengalami masalah dan kerosakan.

“Jangan menunggu mesin-mesin berkenaan rosak, baru tah hendak diperbaiki dan melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan. Jika mesin-mesin tidak dijaga dan dipelihara selayaknya, maka hasil percetakan akan terjejas dan kurang berkualiti,” tambah beliau.

Beliau percaya jika mesin-mesin percetakan itu dijaga dengan baik dan teratur, hasil kualiti percetakan akan berkualiti tinggi dan dapat digunakan semaksimumnya di mana ia bagi memastikan pelaburan kerajaan membeli mesin-mesin berkenaan adalah berbaloi kerana harga mesin-mesin berkenaan adalah sangat tinggi.

Pengendali mesin-mesin percetakan saran Yang Berhormat Dato merupakan tenaga kerja yang perlu diberikan latihan dan kemahiran secara berterusan serta terancang mengikut dengan kemajuan teknologi masa ini.

“Ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena tahun baharu Masihi 2019 di mana Baginda bertitah bahawa kemajuan teknologi hasil daripada Revolusi Industri Keempat mencabar kemahiran konvensional yang kita miliki yang memerlukan peningkatan kemahiran yang ada dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Baginda juga bertitah supaya bangsa kita tidak akan dipaliti oleh sindrom malas,” ulasnya lagi.

Beliau berkata bahawa jelas dari titah berkenaan, Baginda menitik beratkan kita semua agar terus menerus meningkatkan kemahiran dan pembelajaran ke arah kemajuan.

Beliau berharap pihak pengurusan mengambil perhatian terhadap perkara itu kerana kedua-dua komponen berkenaan iaitu mesin-mesin cetak dan tenaga manusia yang mahir adalah sangat mustahak dalam menghasilkan hasil cetakan yang berkualiti tinggi.