Peduli Warga Emas Kitani

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Jangka hayat seseorang yang lahir di Negara Brunei Darussalam pada masa ini telah meningkat kepada lingkungan 77 tahun jika dibandingkan dengan 71 tahun beberapa dekad lalu.

Dengan peningkatan jangka hayat itu, Negara Brunei Darussalam juga akan mengalami fenomena penuaan penduduk yang mana kadar penduduk yang berumur 60 tahun ke atas dijangka akan meningkat hingga melebihi 30 peratus menjelang 2050.

Oleh itu, adalah amat bertepatan untuk kita memberi perhatian yang lebih dekat lagi kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan golongan warga emas, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada Pelancaran Program Pemberigaan Kesedaran bertajuk ‘Hidden Gems: Memeduli Warga Emas Kitani’, yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

Beliau berkata, “Jatuh atau fall adalah satu isu yang lazim terjadi dalam kalangan warga emas sehingga mengakibatkan kecederaan serius termasuk patah tulang atau fracture yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital (hospital admission), kekurangan upaya atau morbiditi dan juga kematian.”

Selain daripada itu, jelasnya, masalah jatuh juga boleh mengancam keselamatan dan kebergantungan seseorang serta menjejaskan kualiti kehidupan seseorang.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mendengar penerangan daripada para peserta pameran semasa pelancaran program yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan.

“Peningkatan masalah jatuh dalam kalangan warga emas juga akan mengehadkan aktiviti dan penglibatan sosial mereka,” tegasnya lagi.

“Ini boleh mengakibatkan penurunan tahap kesihatan fizikal, pengasingan sosial serta kemurungan. Oleh yang demikian, isu jatuh atau fall di kalangan warga emas amat perlu diberikan perhatian agar mereka akan dapat terus aktif (dan kekal berdikari) serta kurang bergantung pada ahli keluarga atau penjaga.”

Beliau menerangkan bahawa antara tindakan yang boleh dilakukan dalam mengurangkan risiko jatuh ialah meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai risiko jatuh dan langkah-langkah mengelakkannya termasuk menjalani penilaian dan pemeriksaan saringan untuk risiko jatuh, melakukan senaman keseimbangan dan kekuatan otot, memastikan persekitaran rumah adalah bebas daripada bahaya jatuh serta penggunaan kasut yang selamat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham berkata lagi bahawa sebagai respons kepada peningkatan usia penduduk di negara ini, satu Pelan Tindakan Isu Warga Emas berpandukan pendekatan seluruh negara telah ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di mana ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan.

Sebagai salah satu langkah bagi mendukung pelan tindakan itu, sebuah program promosi kesihatan warga emas telah dilaksanakan di Pusat Kesihatan Warga Emas, Daerah Tutong di sepanjang 2018 hingga Ogos 2019 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga emas mengenai isu kesihatan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

Di antara isu yang diketengahkan ialah pelbagai penyakit tidak berjangkit, isu berkaitan penuaan, amalan cara hidup sihat serta perkhidmatan kesihatan lain seperti farmasi, pergigian dan sebagainya serta memperkasa warga emas untuk mengamalkan cara hidup sihat secara berterusan.

“Program kesihatan seperti ini berhasrat untuk memenuhi beberapa keperluan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Isu Warga Emas Negara Brunei Darussalam serta mendukung Wawasan Brunei 2035 untuk mencapai kualiti kehidupan yang baik.”

Oleh itu, tambahnya adalah wajar bagi program pencegahan jatuh juga dapat diteruskan dan dilaratkan ke dalam program-program kesihatan warga emas lain yang akan dating.