Pegang dan peluk buaya tarikan pelancongan di Nubian

ASWAN, MESIR – Menjadikan binatang reptilia seperti ular, kadal (spesies-spesies cicak), dan buaya sebagai tarikan pelancongan mungkin sesuatu yang sudah biasa.

Para pelancong akan dipaparkan dengan binatang-binatang reptilia secara terhad yang biasanya terkandang di dalam sangkar besi mahupun kotak kaca. Mungkin ada juga binatang reptilia yang boleh dipegang pelancong merangkumi reptilia tidak berbahaya sahaja.

Namun berbeza pula bagi masyarakat Nubian , yang menjadikan reptilia berbahaya iaitu buaya sebagai tarikan pelancongan yang boleh dipegang serta dipeluk kerana buaya-buaya yang dipamerkan secara terbuka malah mereka menganggapnya sebagai kepercayaan yang membawa tuah.

Di salah sebuah rumah masyarakat Nubian di kampung Gharb Soheil yang menghadap Sungai Nil, kelihatan seorang wanita muda Mesir duduk berhampiran dengan belakang seekor buaya yang besar yang dikandangkan di dalam sangkar simen tanpa bumbung, untuk mengambil gambar.

“Kita tahu bahawa buaya adalah liar tetapi ia telah dibesarkan di sini di rumah-rumah Nubian supaya ia tidak begitu liar,” kata Toqa al-Masry dari bandar raya Kom Ombo, wilayah Aswan kepada media.

Seorang pelancong bergaya untuk bergambar bersama seekor buaya besar di Aswan, Mesir. – Xinhua
Pelancong melihat buaya yang disimpan dalam kandang di salah sebuah tempat tarikan di Kampung Nubian.
– Xinhua

Wanita berusia 26 tahun itu berkata pada mulanya dia merasa takut sehinggalah dia digalakkan oleh pemilik rumah tersebut untuk mendekati, menyentuh dan merakamkan gambar dengan buaya itu.

“Saya… menikmati suasana tradisional Nubian ini dan melihat buaya-buaya yang dibesarkan di kampung,” katanya sambil memeriksa gambar-gambarnya dengan buaya di telefon temannya.

Mamdouh Ahmed, pemilik rumah pelancong Nubian, berkata rumah itu menjadi sumber pendapatannya.

“Rumah itu dibahagikan kepada tiga bahagian, satu untuk paparan buaya, satu untuk menjual cenderamata buatan tangan masyarakat Nubian dan sudut ketiga untuk menghidangkan teh panas kepada pelawat,” kata lelaki berusia 40 tahun tersebut.

Ahmed mempunyai buaya besar di dalam sangkar berlantai simen dan yang lebih kecil di sofa di mana pelawat boleh menyentuh dan bermain dengannya.

“Buaya besar ini telah berada di sini selama 15 tahun, kami membawanya ketika ia masih kecil… sementara yang kecil pula berusia kira-kira enam tahun,” katanya.

“Sangat sukar untuk menangkap buaya kecil di Sungai Nil kerana ia akan bertindak balas dengan ganas, tetapi kini sudah menjadi jinak yang boleh dipegang dan dipeluk,” kata Ahmed, sambil membantu pelancong memegang buaya kecil dengan cara yang betul.

Tidak jauh dari rumah pelancongan Nubian Ahmed, Sherif Khudary, pemilik kedai kopi, juga mempunyai dua ekor buaya besar di dalam sangkar simen tanpa bumbung.

“Kedua-dua ekor buaya itu berusia 19 hingga 20 tahun, jangka hayatnya adalah serupa dengan manusia, ia boleh hidup selama 80 hingga 100 tahun,” kata Khudary, yang juga mempunyai buaya kecil di dalam kotak kaca.

“Saya membeli binatang ini empat minggu yang lalu untuk membawa nasib ke kedai kopi saya. Kami warga Nubian percaya bahawa buaya membawa nasib baik,” katanya.

Di salah sebuah kedai kopi yang lain bernama Fatouma Home yang diwarnai dengan warna biru dan putih yang menarik terletak berhampiran bukit kampung tersebut juga mempunyai buaya untuk dipamerkan. Kedai kopi ini dimiliki oleh seorang wanita Nubian berusia 40an bernama Fatouma.

“Kami mempunyai dua ekor buaya besar ini selama 18 tahun, dan kami membawanya ketika masih kecil seperti cicak,” kata wanita itu kepada media.

Fatouma, yang mempunyai lapan ekor buaya pelbagai saiz, berkata dia menggunakan haiwan untuk menarik pelancong ke kafenya.

“Kami menyimpannya di dalam sangkar di penjuru kedai kopi yang berbeza untuk menghiburkan pelawat,” jelasnya.

Pengalaman menonton, atau menyentuh buaya, nampaknya menarik bagi pelancong tempatan dan asing.

Seorang pelancong warga emas dari Itali, yang memperkenalkan dirinya sebagai Mario, berkata dia dapat melihat bentuk buaya yang banyak tergantung di pintu di kampung tersebut.

“Saya dapat mengatakan ia adalah sebahagian daripada sejarah dan tradisi tempat itu. Ia sungguh menarik,” katanya. – Xinhua