Pegasus Sports kembangkan industri bola keranjang

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Pemain bola keranjang tempatan Samuel Jong menjadi orang pertama di Negara Brunei Darussalam untuk menubuhkan syarikat ejen sukan bernama ‘Pegasus Sports’.

Baru-baru ini syarikat Pegasus Sports telah menolong seorang pemain Amerika Syarikat, Maurice Shaw untuk menyertai Blackwater, pasukan daripada Persatuan Bola Keranjang Filipina.

Lelaki berumur 34 tahun tersebut bersetuju bagi tawaran oleh pasukan francais itu selama tiga tahun untuk menjadi pilihan kedua bagi menandatangani Rookie Class 2019.

Samuel Jong sering kali terlibat dalam pengimportan pemain dari luar negara bagi kejuaraan utama tempatan.

Semasa dalam temu bual, Samuel berkata, “saya sudah melakukan perkara ini selama dua tahun dan saya terus mengembangkan rangkaian saya di seluruh Asia. Saya telah menghantar pemain-pemain yang berlindung di bawah agensi saya ke negara-negara Asia Tenggara, China dan juga Qatar.”

Dia juga ada menyatakan tentang idea bagi menubuhkan agensi sukan, katanya “ia merupakan satu minat dalam dunia bola keranjang, saya melihat ramai orang membuat perniagaan yang sama dan saya bertanya pada diri sendiri kenapa tidak dilakukan di Brunei Darussalam. Kemudian saya memulakannya dari sebuah syarikat yang kecil dan perlahan-lahan membangunkan perniagaan saya.”

Tambahnya “Pada awalnya sesetengah orang akan menyangka perniagaan saya ini akan gagal, namun apabila perniagaan saya mula berkembang, orang ramai mula menghormati keputusan saya dan juga minat saya dalam sukan bola keranjang. Hanya saya seorang satu-satunya ejen di rantau ini yang ada dalam negara Asia Tenggara. Saya mempunyai sembilan orang pemain import di bawah jagaan agensi saya yang bermain di liga Indonesia. Saya juga memegang rekod menghantar banyak pemain di liga tersebut.”

Bagi perkembangan selanjutnya, Samuel Jong berharap dapat menubuhkan pejabat di Filipina dan mula merekrut lebih banyak pemain.

Samuel juga berharap, suatu hari nanti dia dapat membawa pemain bola keranjang Brunei untuk bersaing di liga luar negara pada masa akan datang.

Samuel Jong (kiri) menyaksikan penandatanganan Maurice Shaw bagi pasukan Blackwater daripada Persatuan Bola Keranjang Filipina. – Gambar oleh Spin Ph