BEIJING, 29 DIS – Para pegawai China mengaku hari ini mereka berdepan cabaran untuk mendapatkan bekalan mencukupi buat penduduk di Xi’an yang dikenakan perintah berkurung, selepas penduduk bandar itu mengadu dalam media sosial mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi dan meminta bantuan.
Sekitar 13 juta penduduk di utara Xi’an memasuki hari ketujuh mereka berkurung di rumah, manakala para pegawai kesihatan negara telah menggesa bagi langkah-langkah diperketatkan ketika China bergelut dengan pertambahan virus terburuk dalam masa beberapa bulan ini.
Beijing telah mengunapakai strategi ‘sifar COVID-19’ melibatkan sekatan sempadan ketat dan menyasarkan sekatan pergerakan sejak virus pertama kali muncul di bandar tengah pada lewat 2019.
Namun para pegawai mengakui semasa sidang media hari ini bahawa ‘kekurangan kehadiran kakitangan dan kesukaran dalam logistik dan pengagihan’ telah membawa kepada masalah menyediakan bekalan penting ketika negara itu berdepan kebangkitan semula dalam jangkitan.
Sehari sebelumnya, ramai penduduk meminta bantuan makanan dan barang keperluan lain dalam media sosial, dengan beberapa daripadanya mengatakan kawasan perumahan mereka tidak membenarkan mereka keluar meskipun mereka kehabisan makanan.
Pegawai Xi’an, Chen Jianfeng memberitahu wartawan bahawa kerajaan tempatan telah mengerahkan perusahaan untuk meningkatkan pengagihan bantuan kepada komuniti, dengan kader menyelia pasaran gudang dan pasar raya.
“Kami cuba sedaya upaya untuk membantu masalah kekurangan kakitangan dengan mengeluarkan pas kenderaan yang menjamin bekalan keperluan,” katanya. – AFP