CANBERRA, Australia, 9 Feb – Pegawai AS berhenti memeriksa pelarian yang ditahan di Nauru untuk penempatan semula di Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini tetapi akan kembali ke atol Pasifik untuk meneruskan usaha untuk mencapai satu perjanjian yang telah dikecam oleh Presiden Donald Trump sebagai ‘bodoh,’ kata menteri Australia hari ini.
Menteri Imigresen Peter Dutton enggan berkata bila pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negara AS akan kembali ke Nauru untuk menjalankan apa yang digambarkan oleh Trump sebagai ‘pemeriksaan amat teruk.’
Trump menjalankan pemeriksaan satu syarat kerana bersetuju untuk menghormati satu perjanjian pentadbiran Obama untuk menerima sehingga 1,250 pelarian yang tidak dibenarkan masuk ke Australia.
Australia membayar Nauru dan Papua New Guinea untuk mengekal lebih daripada 2,000 pencari perlindungan – kebanyakan mereka dari Iran, Afghanistan dan Sri Lanka – dalam keadaan yang dikecam oleh kumpulan hak.
Proses ‘pemeriksaan amat teruk’ masih belum dijelaskan.
Pegawai AS dihantar ke Nauru dalam tempoh beberapa hari selepas pengumuman perjanjian pada November selepas pilihan raya presiden AS. Namun mereka meninggalkan tempat itu pada minggu ini dengan pengaturan masih dalam keadaan diragui.
“Saya tidak mempunyai apa-apa komen berhubung dengan bila pegawai AS akan berkunjung ke Nauru,” beritahu Dutton kepada wartawan.
“Terdapat pegawai yang telah meninggalkan kawasan itu dalam tempoh beberapa hari lalu dan kami menjangka pegawai lain akan berada di sana tidak lama lagi.”
Dutton menafikan dalam temu bual dengan Sky News bahawa proses pemeriksaan sedang ditangguhkan, berkata kakitangannya sedang bekerjasama dengan pegawai keselamatan dalam negeri di Washington untuk menilai setiap kes pelarian. – AP