Pegawai AS, Jepun setuju bincang tarif

TOKYO, 15 NOV – Para pegawai Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan peringkat tertinggi di Tokyo hari ini selepas Washington berkata ia sudah sedia untuk membincangkan mengurangkan tarif keluli dan aluminium yang dikenakan oleh pentadbiran bekas presiden Donald Trump.

Perwakilan Perdagangan AS, Katherine Tai dan Setiausaha Perdagangan, Gina Raimondo telah mengadakan perhentian pertama di bandar Jepun dalam lawatan berasingan ke beberapa buah negara di Asia.

Raimondo mengadakan rundingan bersama Menteri Perdagangan Jepun, Koichi Hagiuda, dengan kedua-duanya menekankan kepentingan kerjasama antara ekonomi ketiga terbesar dan teratas dunia.

“Hubungan antara AS dan Jepun sangat penting…bagi nilai ekonomi bersama dan ini adalah sebab langkah pertama saya di rantau ini,” kata Raimondo dalam kenyataan ringkas.

Beliau menyeru kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk semikonduktor dan rangkaian bekalan, ketika masalah pengeluaran dan kekurangan cip menghambat pemulihan ekonomi pandemik seluruh dunia.

Raimondo tidak merujuk kepada perbincangan mengenai tarif aluminium dan keluli namun pegawai kanan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) mengesahkan kedua-dua belah pihak ‘bersetuju untuk memulakan rundingan’.

“Butirannya akan diumumkan kemudian. Jika tarif dibatalkan, ia akan menjadi penyelesaian lengkap buat Jepun,” kata Hiroyuki Hatada, pegawai kanan METI yang bertanggungjawab ke atas perdagangan AS. – AFP