Pegawai berprofil tinggi maut akibat COVID-19

TEHRAN, 6 MAC – Seorang penasihat kepada menteri luar Iran yang mengambil bahagian dalam krisis tebusan kedutaan Amerika Syarikat 1979 telah meninggal dunia akibat koronavirus (COVID-19), agensi berita rasmi IRNA melaporkan.

Hossein Sheikholeslam, yang juga seorang veteran dan diplomat revolusi meninggal dunia lewat kelmarin, lapor IRNA. Iran telah berusaha menyekat penyebaran koronavirus yang semakin teruk ketika ini dan telah menjangkiti 3,513 orang serta membunuh sekurang-kurangnya 107 orang di republik itu.

Enam daripada mereka yang meninggal akibat COVID-19 adalah ahli politik atau pegawai kerajaan. Sebelum beliau meninggal dunia, Sheikholeslam menjadi penasihat Menteri Luar Negeri Mohammad Javad Zarif.

Beliau yang juga seorang bekas duta besar ke Syria, pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri luar negeri dari 1981 hingga 1997. Sheikholeslam juga merupakan salah seorang pelajar yang terlibat dalam krisis tebusan Iran 1979.

COVID-19 meragut nyawa pegawai-pegawai Iran yang berprofil tinggi, termasuk Mohammad Mirmohammadi yang menasihatkan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Wabak itu juga telah meragut nyawa Mohammad Ali Ramezani, seorang anggota Parlimen dari Gilan, salah satu wilayah paling teruk terjejas di negara itu. Ahli parlimen Tehran Fatemeh Rahbar juga kini berada dalam keadaan koma selepas dijangkiti, menurut agensi berita ISNA. – AFP