Pegawai China terlibat skandal vaksin dipenjara 10 tahun

BEIJING, 3 Jan – Bekas pegawai bagi Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) China telah dipenjarakan kerana mengambil rasuah daripada pembekal vaksin, menurut laporan hari ini, dalam satu kes skandal besar yang menggegarkan negara Asia itu tahun lepas.

Yin Hongzhang, bekas timbalan pengarah pusat ujian ubat-ubatan pentadbiran berkenaan telah dijatuhkan 10 tahun penjara dan denda 500,000 yuan kerana mengambil rasuah untuk membantu pembekal vaksin mendapat kelulusan bagi ubat mereka, kata akhbar Legal Evening News China.

Isteri dan anak lelakinya pada awalnya telah dijatuhi hukuman penjara kerana subahat dalam skim itu dan menerima pelbagai kemudahan dan rasuah bernilai 3.56 juta yuan (AS$510,000), termasuk produk gading bernilai 180,000 yuan, katanya.

Yin telah dihadapkan ke mahkamah pada April 2015 dan didakwa mengambil rasuah yang berkaitan dengan usaha empat firma bioteknologi untuk memperoleh permit kerajaan bagi pelbagai vaksin, termasuk SARS dan flu avian.

Hukuman itu disusuli dengan pendedahan pada Mac mengenai skandal vaksin besar-besaran yang membuatkan penduduk China berang.

Kes itu melibatkan penyimpanan tidak teratur, pengangkutan dan penjualan puluhan juta dolar nilai vaksin – yang kebanyakannya telah mansuh. – AFP