Pegawai imigresen didakwa cuba minta sogokan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Seorang pegawai kanan imigresen hari ini didakwa di Mahkamah Majistret kerana disyaki terlibat dalam percubaan meminta sogokan.

Pegawai Kanan Imigresen, Duraman bin Haji Japar, 46, yang ditempatkan di Bahagian Permit Masuk, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dipercayai cuba untuk mendapatkan suapan berjumlah $1,500 bagi dirinya dan orang lain, daripada seorang penduduk tetap berusia 56 tahun bagi membantu meluluskan permohonan permit masuk permohonan isteri mangsa berusia 49 tahun yang berwarganegara Malaysia, pada petang 4 Mac.

Pertuduhan kedua mendakwa Duraman cuba untuk mendapatkan suapan $1,500, bagi dirinya dan orang yang lain, daripada mangsa yang sama pada petang 22 April.

Bagaimanapun, Duraman telah ditangkap oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) pada 7 Mei lalu berikutan maklumat orang awam mengenai kegiatan rasuah terbabit. Siasatan BMR mendapati bahawa permit masuk isteri mangsa untuk tinggal di negara ini telah pun tamat.

Duraman juga didapati telah meminta suapan dua kali dalam dua kejadian berasingan semasa pasangan itu memohon bagi perlanjutan permit.

Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman tidak merekodkan pengakuan Duraman dan menangguhkan kes itu hingga 10 Disember depan dan membebaskannya dengan ikat jamin $10,000 dengan syarat yang ketat.

Pertuduhan tersebut membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda $30,000.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin dan Husna binti Haji Abidin mewakili pendakwa raya.