Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Lima orang pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) MABIMS ke-46 yang berlangsung di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, Sabah dari 26 September lalu hingga hari ini.
Delegasi diketuai oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan disertai oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS selaku Ketua Sekretariat MABIMS Brunei, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim; Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri; Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail; dan Pegawai Penyelidik, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Muhammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa.
Mesyuarat kali ini membawa tema ‘Keluarga MABIMS Tunjang Kesejahteraan Ummah’ dan antara agenda yang dimuatkan termasuk Seminar Kertas Tema SOM ke-46 yang telah diadakan pada 27 September lalu.
Penyertaan Brunei pada mesyuarat tersebut merupakan komitmen dan tanggungjawab sebagai anggota dalam Pertemuan Tahunan Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).
Ia merupakan platform bagi membincangkan perancangan dan pelaksanaan pelbagai program keagamaan dalam bidang pendidikan, dakwah, kebeliaan dan sebagainya yang disepakati oleh negara-negara anggota MABIMS.
Seminar yang melibatkan 200 orang peserta itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Malaysia, Tuan Yang Terutama Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad.
Wakil Brunei dan negara-negara anggota MABIMS yang lain juga berpeluang membentangkan kertas tema masing-masing dalam Seminar Kertas Tema SOM ke-46.
