ISLAMABAD, 18 FEB – Seorang birokrat kanan di Pakistan berkata kelmarin beliau telah membantu menipu pilihan raya negara itu, seminggu selepas pengundian yang dicemari dengan dakwaan manipulasi tidak menghasilkan pemenang yang jelas.
Pesuruhjaya bandar garison Rawalpindi, Liaqat Ali Chattha, berkata beliau akan menyerahkan dirinya kepada polis.
Terdapat dakwaan meluas mengenai penipuan selepas pihak berkuasa menyekat rangkaian telefon bimbit negara pada hari pilihan raya dan pengiraan mengambil masa lebih 24 jam.
Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) yang disokong tentera, kurang majoriti, telah mengumumkan kerjasama dengan Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan sesetengah parti yang lebih kecil untuk membentuk kerajaan seterusnya.
Chattha berkata, beliau secara peribadi menyelia penipuan undi di Rawalpindi, sebelum berundur daripada jawatannya.
“Kami menukar yang kalah kepada pemenang, membalikkan margin 70,000 undi di 13 kerusi DUN,” katanya kepada pemberita.
“Atas melakukan jenayah kejam itu, saya akan menyerahkan diri kepada polis,” katanya yang turut membabitkan ketua suruhanjaya pilihan raya dan hakim tertinggi negara.
Suruhanjaya pilihan raya menolak dakwaan Chattha, tetapi dalam satu kenyataan berkata ia akan ‘mengadakan siasatan.’ – AFP