Friday, September 30, 2022
25.5 C
Brunei

Pegawai PBB nilai situasi hak asasi pelarian Rohingya

-

DHAKA, 14 OGOS – Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di Bangladesh hari ini untuk mengadakan lawatan rasmi empat hari bagi menilai situasi hak asasi manusia dan keadaan masyarakat Rohingya.

Menteri Luar Bangladesh AK Abdul Momen menyambut ketibaan Michelle Bachelet di lapangan terbang Dhaka, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar.

Kunjungan itu ialah lawatan rasmi pertama oleh ketua hak asasi manusia PBB ke Bangladesh, sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk melebihi 165 juta.

Selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, barisan Kabinet dan anggota masyarakat sivil, Bachelet juga akan bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan di Bangladesh dan wakil belia.

Beliau juga akan bertemu pelarian Rohingya di daerah sempadan Cox’s Bazar.

Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta masyarakat Rohingya, kebanyakannya masih melarikan diri daripada kekejaman tentera di Rakhine, Myanmar sejak Ogos 2017.

Lawatan Bachelet itu dianggap penting kerana bertepatan dengan ulang tahun kelima penghijrahan Rohingya ke Bangladesh.

Sebanyak sembilan badan hak asasi antarabangsa meminta Bachelet untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Bangladesh bagi memperbaiki situasi di negara itu susulan peningkatan insiden pembunuhan, hilang tanpa dapat dikesan, penyeksaan ketika berada dalam tahanan polis dan gangguan terhadap pengkritik kerajaan.

Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan menolak sekeras-kerasnya beberapa usaha bermotifkan politik bagi mengelirukan rakyat dengan menjadikan lawatan Pesuruhjaya Tinggi PBB sebagai satu kesempatan untuk memberi tekanan tidak wajar kepada kerajaan. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -