Pegawai pendakwaan syarie tingkat kemahiran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Dalam usaha meningkatkan kapasiti dan kemahiran pegawai-pegawai pendakwaan syarie, khasnya dalam pemakaian undang-undang keterangan, Bahagian Pendakwaan Syarie, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Kursus Perintah Keterangan Mahkamah Syariah 2001 (Lanjutan).

Kursus yang memfokuskan kepada perbincangan dan kupasan berhubung isu-isu dalam undang-undang keterangan dalam pengendalian kes-kes jenayah syariah itu diadakan selama empat hari bermula hari ini, iaitu dua hari pada minggu ini manakala dua hari lagi akan diadakan pada minggu hadapan.

Fasilitator yang dipilih bagi menjayakan kursus tersebut ialah Profesor Madya Dr Zulfakar bin Ramlee, pensyarah di Jabatan Amalan Perundangan, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Uni-versiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kursus berkenaan disertai oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ugama, KHEU.

Selaras dengan langkah-langkah kawalan berikutan penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kursus telah diadakan secara dalam talian dengan kaedah bekerja dari rumah melalui aplikasi Zoom.

Antara yang menyertai kursus secara dalam talian tersebut. – Gambar serahan KHEU