Friday, September 30, 2022
25.5 C
Brunei

Pegawai penguat kuasa perlu ada jati diri

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Warga perkhidmatan awam yang diamanahkan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, harus mempunyai jati diri yang baik dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan.

Mereka juga harus mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan kesediaan dalam menangani apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara akan dapat dikekalkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Bengkel Tatacara Melaksanakan Penguatkuasaan Undang-undang yang berlangsung di Bangunan KHEDN, hari ini.

Beliau menyatakan harapan menerusi bengkel dan latihan itu, KHEDN akan dapat melahirkan pegawai-pegawai penguat kuasa yang berwibawa, efisien, efektif dan mempunyai integriti yang tinggi.

Oleh itu, Dayang Nor Hamidah berharap para peserta bengkel akan mengambil peluang daripada kursus berkenaan untuk meningkatkan kapasiti dan potensi diri serta sama-sama mengenal pasti jurang yang ada dari segi keupayaan prosedur, komunikasi dan logistik bagi memantapkan lagi keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Semoga pembelajaran melalui bengkel ini akan dapat dijadikan ilmu yang bermanfaat dan diterapkan dalam pelaksanaan tugasan seharian,” tambahnya.

Bengkel yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) itu, disertai oleh seramai 40 orang pegawai dari jabatan-jabatan di bawah KHEDN.

Bengkel itu menumpukan kepada pembelajaran dalam bidang berkaitan penguatkuasaan iaitu tatacara operasi, penyiasatan dan pendakwaan.

Bengkel bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran pegawai atau kakitangan yang diberikan kuasa bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang di samping mendedahkan mereka dalam menjalankan peranan dan pelaksanaan penguatkuasaan serta memastikan setiap pegawai dan kakitangan akan mengguna pakai akta dan peraturan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

Dayang Nor Hamidah semasa menghadiri Majlis Pembukaan Bengkel Tatacara Melaksanakan Penguatkuasaan Undang-Undang yang berlangsung di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -