Pegawai penjara terima rasuah AS$11 juta

SAINT PETERSBURG, 8 NOV – Seorang bekas pegawai penjara Rusia telah didakwa menerima rasuah berjumlah AS$11 juta ketika menyelia pembinaan sebuah penjara baharu yang dikatakan terbesar di Eropah.

Sergei Moiseyenko, bekas penolong ketua perkhidmatan penjara untuk bandar barat laut Saint Petersburg, telah didakwa menerima wang perlindungan dari firma pembinaan yang membina penjara Kresty-2, beritahu penyiasat kepada AFP hari ini selepas menyelesai siasatan mereka.

Pengarah syarikat memberikannya 710 juta rubles di antara tahun 2010 dan 2015, kata penyiasat.

Kresty-2 dibuka di luar Saint Petersburg pada akhir 2017. Ia mengganti penjara era tsar dipanggil Kresty di tengah bandar kedua terbesar Rusia.

Dengan kapasiti 4,000 banduan dan kawasan seluas 35 hektar, Kresty-2 dikatakan oleh pihak berkuasa penjara Rusia yang ‘terbesar di Eropah’ dan menelan kos kira-kira 12 bilion rubles untuk dibina. Moiseyenko telah ditahan berhubung kes itu sejak Julai.

Beliau sebelumnya dibicarakan kerana membantu dan menutup pembunuhan seorang rakan sekerja yang merancang mendedahkan penipuan dan kecurian daripada projek pembinaan Kresty-2 namun telah dibebaskan.

Mahkamah Agung Rusia pada minggu ini mengetepikan keputusan itu dan mengarahkan perbicaraan diadakan semula.

Keadaan dalam sistem penjara Rusia sering mencetuskan rusuhan dan banduan dan aktivis hak telah mendedahkan penyeksaan dan pekerja perhambaan. – AFP