Pegawai perubatan kanan ambil dadah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seorang pegawai perubatan kanan telah diarahkan membayar denda $2,300 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengambil dadah dan memiliki peralatan mengambil dadah.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman turut mengarahkan Aftab Ahmad Rana dijatuhi empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin, defendan telah didekati oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) di dalam keretanya yang diletakkan di Masjid Bolkiah, Serusop pada 8:50 malam, 14 April 2020. Pegawai BKN mengesyaki defendan terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah dan menjalankan pemeriksaan tetapi tidak menemui apa-apa di badannya.

Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kereta defendan telah menemui peralatan mengambil dadah. Setelah dianalisis, peralatan berkenaan mempunyai kesan Methylamphetamine manakala itu, sampel air kencingnya diuji positif bagi dadah kelas A yang sama.