Pegawai polis dikehendaki atas kematian suspek dadah

BANGKOK, 25 OGOS – Pihak berkuasa Thailand, hari ini, memburu sekumpulan pegawai polis yang dikehendaki dipercayai melemaskan seorang suspek dadah sehingga mati menggunakan beg plastik dalam insiden yang dirakam.

Satu siasatan telah diperintahkan selepas rakaman video mengenai insiden itu tular di media sosial.

Klip video itu menunjukkan sekumpulan lelaki, dipercayai termasuk ketua sebuah stesen polis daerah di wilayah utara Nakhon Sawan, membalut beg plastik pada kepala lelaki berkenaan sementara menyoalnya pada 5 Ogos.

Suspek itu pengsan dan beberapa pegawai cuba menyedarkannya, berdasarkan petikan video itu.

Polis yang menyiasat kes itu berkata, ketua stesen berkenaan disyaki menyebabkan kematian lelaki terbabit ketika cuba mendapatkan sogokan dua juta baht (AS$60,000).

“Semua orang yang terlibat dengan kes ini akan disiasat. Proses sedang berjalan,” ketua polis negara, Suwat Jangyodsuk memberitahu wartawan.

“Kami tidak mengatakan (pegawai-pegawai berkenaan) bersalah, tetapi bukti membuat kami percaya (bahawa jenayah telah dilakukan).”

Mahkamah wilayah Nakhon Sawan telah mengeluarkan waran tangkapan bagi tujuh pegawai polis, dengan tiga dakwaan difailkan termasuk pembunuhan dengan penyeksaan atau kekejaman.

Empat orang pegawai polis telah ditahan setakat ini, dengan tiga lagi masih bebas termasuk ketua stesen polis itu. – AFP