Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai Thailand ke M’sia Selasa ini

    BANGKOK, 23 Julai – Para pegawai daripada empat agensi penguatkuasaan undang-undang Thailand akan berada di Malaysia selama dua hari, bermula Selasa ini, untuk menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat tempatan yang didakwa menjadi ‘sindiket jenayah antarabangsa’ di Thailand.

    Para pegawai berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang syarikat itu, yang menjalankan perniagaan di kedua-dua negara.

    “Sebaik sahaja pulang dari Malaysia, empat agensi berkenaan akan memulakan prosiding perundangan terhadap syarikat Malaysia itu,” kata satu sumber peringkat tinggi yang enggan mendedahkan identitinya kepada Bernama susulan satu pertemuan di Pejabat Peguam Negara di sini baru-baru ini.

    Perjumpaan selama kira-kira sejam setengah minggu lepas itu melibatkan pegawai kanan daripada pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang.

    Empat agensi penguatkuasaan undang-undang yang akan ke Malaysia itu ialah Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Pejabat Antipengubahan Wang Haram (AMLO), Biro Pencegahan Narkotik (NSB) dan Jabatan Siasatan Khas (DSI).

    Syarikat dari Pulau Pinang yang menjalankan perniagaan di Malaysia dan Thailand itu, terutama di wilayah selatan negara ini, sedang dikenakan penyiasatan rapi oleh pihak berkuasa daripada kedua-dua negara kerana aktiviti perniagaannya yang mencurigakan.

    Dalam tempoh beberapa bulan lepas, pihak berkuasa Malaysia menyerbu premis syarikat itu serta membekukan akaun bank yang mempunyai kaitan dengannya.

    Menurut sumber berkenaan, Pejabat Peguam Negara, DSI dan AMLO dijangka mengambil tindakan pertama dengan mengenakan pertuduhan terhadap syarikat terbabit.

    “Pertuduhan DSI akan bertumpu pada aktiviti perniagaan syarikat berkenaan, manakala AMLO tentang pengubahan wang haram. Pejabat Peguam Negara pula dijangka mengenakan pertuduhan berkaitan ‘penglibatannya dengan sindiket jenayah rentas sempadan,” katanya.

    Agensi lain yang turut menyiasat syarikat itu seperti ONCB, NSB, Jabatan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Hasil, Jabatan Kastam dan Bank of Thailand (BoT), akan meneruskan siasatan masing-masing.

    “Mana-mana agensi yang sudah selesai melakukan siasatan, bolehlah memulakan prosiding undang-undang,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Datuk Bandar Dannok, Kecha Benchakan, dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini berkata syarikat itu adalah antara pelabur terbesar di bandar sempadan berkenaan serta menyediakan peluang pekerjaan yang amat diperlukan.

    Menurut beliau, tuduhan yang dikenakan terhadap syarikat Malaysia itu tidak berasas dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

    “Sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen serta permit kepada syarikat Malaysia itu, saya telah meneliti pelaburan dan perniagaannya. Sekiranya syarikat berkenaan “angkat bungkus” dari Dannok, pekan ini akan mati dan tiada siapa yang mahu melabur (di Dannok),” katanya.

    Beliau berkata tahun lepas, pengasas syarikat itu dilantik agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi membangunkan selatan Thailand, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebagai penasihat ekonomi dan pelancongannya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda