Peguam Bolivia arah Morales ditangkap

LA PAZ, 19 DIS – Peguam negara Bolivia, kelmarin mengarahkan penangkapan bekas presiden yang hidup dalam buangan Evo Morales selepas kerajaan sementara menuduh beliau melakukan hasutan dan keganasan.

Pendakwa raya di La Paz menandatangani surat waran untuk polis menahan bekas presiden yang berusia 60 tahun itu, yang kini berada di Argentina dan membawanya ke pejabat peguam negara.

Morales meninggalkan Bolivia bulan lepas selepas kekacauan awam berlaku berikutan undian pemilihan semula beliau pada 20 Oktober dihentikan kerana berlaku penipuan.

Bekas pemimpin kesatuan perdagangan mengecam arahan penangkapan tersebut sebagai ‘haram, tidak adil dan tidak mengikut perlembagaan’ di Twitter. “Saya tidak bimbang. Selagi saya masih hidup saya akan terus dengan kekuatan lebih besar untuk berjuang dalam politik dan ideologi untuk kebebasan dan kedaulatan Bolivia,” dia berkata.

Morales memerintah negara Amerika Selatan selama hampir 14 tahun sebelum meletak jawatan bulan lalu dan meninggalkan Bolivia.

Dia pada mulanya menerima suaka di Mexico dan kemudian tiba di Argentina minggu lepas. Tuduhan terhadapnya berpunca daripada rakaman audio yang dikeluarkan oleh Arturo Murillo, menteri dalam negeri, kerajaan sementara Bolivia. Dalam rakaman itu, Morales didakwa memberitahu salah seorang penyokongnya untuk menghalang trak dan mengganggu bekalan makanan ke beberapa bandar raya.

Ketika itu, Morales berada di Mexico, dakwa aduan itu.

Murillo memulakan tindakan undang-undang terha-dap Morales pada November, selepas beberapa minggu sekatan jalan raya menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan minyak di bandar La Paz berikutan peletakan jawatannya.

Bekas presiden itu membalas dengan menuduh kerajaan sementara mengeluarkan rakaman audio tersebut untuk merosakkannya secara politik. – AFP

Gambar fail pada 27 November menunjukkan bekas Presiden Bolivia, Evo Morales yang hidup dalam buangan semasa menyampaikan ucapan di Kelab Wartawan Mexico, di Bandaraya Mexico. – AFP