KUANTAN – Impian peguam Noor Jehan Abu Bakar untuk memiliki bilik air tanpa botol plastik menjadikan beliau dikenali sebagai ‘pembuat sabun’ mesra alam sekitar.
Bukan hanya sabun, sebaliknya Noor Jehan, 50, berupaya menghasilkan pelbagai barangan penjagaan diri seperti syampu, pencuci muka, deodoran dan losen dalam bentuk ketulan yang tidak menghasilkan sebarang ‘buangan’ apabila habis digunakan.
Bagi melengkapkan polisi tiada plastik, anak jati Kuantan itu turut menghasilkan ubat gigi, krim pelindung matahari, serum muka dan lulur badan yang disimpan di dalam bekas atau botol kaca sebagai langkah membantu mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.
“Bilik air adalah tempat paling sesuai untuk kita memulakan inisiatif mengurangkan plastik kerana barang penjagaan diri tidak begitu banyak jika dibandingkan dengan lokasi lain seperti dapur yang majoriti barang memasak dibungkus menggunakan plastik.
“Plastik mengambil masa lama untuk terurai. Jika terurai dalam laut, ia akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik yang membahayakan hidupan laut. Jadi walaupun bermula di bilik air, ia membuka peluang kepada setiap individu untuk turut serta menjaga alam sekitar,” katanya kepada media semasa ditemui di sini.
Noor Jehan mengakui idea untuk menghasilkan barangan bebas plastik itu mula bermain di fikirannya sejak lima tahun lepas, namun beliau mengambil masa hampir dua tahun sebelum berjaya ‘mencari resipi tepat’ untuk menghasilkan sabun mandi yang kemudiannya membawa kepada penghasilan produk penjagaan diri yang lain.
Sambil tersenyum, ibu kepada sepasang cahaya mata itu mengakui beberapa siri percubaannya tidak berhasil apabila sabun yang dihasilkan berbau tengik atau mendapat komen negatif anggota keluarganya sehinggakan beliau sendiri tidak sanggup untuk menggunakannya.
Enggan mengalah, Noor Jehan mengambil inisiatif mempelajari seni pembuatan sabun dengan lebih serius malah sanggup menghadiri kelas di luar negara sebelum dirinya berani ‘berkongsi’ idea bilik air tanpa plastik dengan produk penjagaan diri di bawah label Le Starry Natural Products.
“Saya mahu menyediakan alternatif kepada mereka yang mencari kerana ramai beranggapan produk seperti ini sangat mahal dan itu tidak tepat. Harga barangan penjagaan diri mesra alam ini bermula RM10 kerana niat saya mahu mengajak lebih ramai individu mengurangkan penggunaan plastik,” katanya.
Noor Jehan berkata lebih istimewa, semua produk penjagaan diri itu dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti susu kambing, madu, serai wangi, bunga telang, pandan, minyak kelapa, aloe vera, biji kopi, bunga lavender, kunyit, ‘loofah’, minyak argan dan rempah ratus yang diketahui mempunyai khasiat tersendiri.
Ia bermaksud tiada penggunaan bahan kimia dan bonus kepada pembeli, setiap sabun juga amat berseni dan kelihatan mewah sehingga boleh mendatangkan perasaan ‘sayang untuk digunakan’ kerana dibuat dengan penuh kasih sayang sehingga boleh mengambil masa berhari-hari untuk disiapkan.
Manakan tidak, Noor Jehan menetapkan tema alam sekitar pada setiap sabunnya dan sebagai contoh, sabun bertemakan pemuliharaan laut mempunyai hiasan tapak sulaiman, cengkerang siput, kuda laut atau ekor ikan duyung yang perlu dihasilkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses menghasilkan sabun asas.
“Pembuatan sabun memerlukan pengiraan yang tepat mengikut acuan dan bagaimana susun atur hiasan hendak dilakukan. Sebab itu, saya perlu mengira dan melakar terlebih dahulu sabun yang hendak dihasilkan menggunakan kertas buku matematik yang berkotak.
“Pembuatannya bermula dengan mencampur bahan boleh mengambil masa antara tiga ke empat jam dan perlu dibiarkan semalaman sebelum boleh dipotong. Jika sabun itu perlu diukir untuk meningkatkan kemasannya, ia dilakukan dengan menggunakan pisau mentega atau pencungkil gigi,” katanya.
Setiap produk yang dihasilkan boleh bertahan antara lapan ke 12 bulan, namun lazimnya Noor Jehan akan memastikan tiada produk yang dijual melebihi tiga bulan kerana semuanya dibuat dalam kuantiti kecil.
Bukan hanya sesuai untuk penjagaan diri, malah sabun buatan sendiri dan mesra alam itu juga sesuai untuk digunakan kepada haiwan peliharaan dan Noor Jehan turut menghasilkan syampu buku untuk mandian anjing atas permintaan selain turut mendermakan sabun kepada individu yang menjaga kucing. – Bernama