KAHERAH, 5 Nov – Seorang peguam hak asasi terkenal akan bertanding bagi jawatan presiden dalam pilihan raya tahun depan, menurut tiga orang ahli politik kanan semalam. Langkah itu tidak mungkin memberi cabaran serius kepada kempen presiden pada masa ini, namun akan menguji popularitinya pada ketika kepayahan teruk ekonomi dan tindakan berterusan ke atas penentang.
Ahli-ahli politik itu berkata Khaled Ali yang gagal dalam pilihan raya presiden tahun 2012 akan mengumumkan pencalonannya dalam sidang media esok yang mana dia juga akan menggariskan dasarnya. Ali menolak permintaan Associated Press(AP) untuk mengulas sebelum sidang media esok.
Bagaimanapun ahli-ahli politik yang rapat dengan Ali dan secara langsung terlibat dalam rundingan berbulan-bulan antara dia dan ketua-ketua parti sekular mengenai memilih calon bersama – tidak meragui bahawa dia memutuskan untuk bertanding.
“Dia bertanding,” salah seorang dari tiga ahli politik itu memberitahu AP. “Ketua-ketua lain menyambut baik pencalonan dia, tetapi keputusan tentang sama ada untuk menyokongnya belum lagi dibuat.”
Ahli-ahli politik itu merahsiakan identiti mereka kerana Ali belum membuat pengumuman rasmi.
Ali telah menjadi orang penting dikalangan teras bersemangat tetapi kecil yang kebanyakan mereka adalah aktivis-aktivis muda sekular dan pro demokrasi yang terkenal sebagai ‘revolusi’. Mereka adalah penggerak utama di sebalik kebangkitan 2011 yang menggulingkan autokrat yang lama memerintah, Hosni Mubarak.
Terkenal hanya sekejap selepas kejatuhan Mubarak, apabila mereka gagal mewujudkan kekuatan politik yang padu.
Ali kurang dikenali di luar lingkaran berhaluan kirinya apabila dia bertanding bagi jawatan presiden pada tahun 2012. Dengan tindakan undang-undang yang diketuainya dan peguam-peguam lain, Ali berjaya menyekat rancangan kerajaan untuk menyerahkan dua kepulauan berstrategik Laut Merah kepada Arab Saudi. Perintah mahkamah yang telah menyokong rayuan itu pada Januari lalu, telah menjadikan Ali terkenal sebagai pembela integriti wilayah negara dikalangna ramai yang membantah penyerahan itu.
Bagaimanapun parlimen, dewan yang mempunyai 596 kerusi yang penuh dengan para penyokong el-Sissi dengan tergesa-gesa meluluskan perjanjian pada bulan Jun dan presiden telah mengesahkannya tidak lama selepas itu. Ali berikrar tidak akan mengaku kalah dalam perjuangan untuk mengembalikan hak pemilikan Mesir ke atas kepulauan Tiran dan Sanafir di muara Teluk Aqaba, Laut Merah. – AP