YANGON, 1 NOV – Para peguam yang mewakili pemimpin awam Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi hari ini menyoal balas anggota keselamatan yang menahan pemimpin itu semasa rampasan kuasa pada Februari lalu.
Suu Kyi yang berdepan pertuduhan mengimport walkie-talkie secara haram dan beberapa pertuduhan lainnya, ditahan oleh empat orang tentera dan seorang anggota polis yang disoal siasat semasa perbicaraan terkini Suu Kyi, menurut sumber boleh dipercayai.
“Kesemua mereka terbabit dalam serbuan di kediaman Suu Kyi pada pagi 1 Februari lalu,” kata sumber itu tanpa menjelaskan secara terperinci keterangan mereka.
Sumber itu turut mendedahkan, Suu Kyi turut memberi keterangan atas pertuduhan berasingan yang mendakwa pemimpin itu melanggar sekatan COVID-19 ketika menang besar dalam pilihan raya 2020 melalui Parti Liga Demokrasi Nasional (NLD).
Suu Kyi mula dibicarakan pada Jun dan memberi keterangan buat kali pertama pada minggu lalu ketika pemimpin itu mempertahankan pembelaan terhadap pelbagai pertuduhan yang boleh mengakibatkan beliau dipenjarakan selama beberapa dekad. – AFP