Pejabat KDYMM bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini telah mengadakan majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.

Majlis bertahlil berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Antara yang menyertai majlis keagamaan itu ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar, Timbalan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia KDYMM, Dato Paduka Haji Hamidon bin Haji Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan, para pegawai serta kakitangan Pejabat KDYMM.

Sementara itu, bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Mahmuda.

Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin semasa menghadiri majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.
Antara warga Pejabat KDYMM yang menghadiri majlis tahlil tersebut.