Pejabat Peguam Negara hos SOM-MLAT pertama

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pejabat Peguam Negara telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Central Authorities on Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (SOM-MLAT) Pertama yang berlangsung secara maya, kelmarin dan hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Peguam cara Negara Brunei Darussalam, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi dan dihadiri pegawai kanan dari negara anggota ASEAN (AMS) dan Sekretariat ASEAN.

Hajah Zuraini pada ucapan pembukaan mesyuarat menekankan pengesahan Mutual Legal Assistance Treaty in Criminal Matters (MLAT) oleh menteri-menteri dan peguam negara ASEAN di Yogyakarta pada April 2019 yang merupakan pencapaian penting ke arah usaha berterusan di ASEAN merealisasikan integrasi ASEAN dan Wawasan Komuniti 2025.

Ia juga merupakan pelengkap kepada usaha berterusan dalam badan sektoral lain di ASEAN seperti Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Undang-undang ASEAN (ASLOM) dalam mengukuhkan kapasiti ASEAN untuk menangani cabaran rentas sempadan.

Ia merupakan mesyuarat pertama setelah Treaty on Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (ASEAN MLAT) diangkat sebagai satu perjanjian ASEAN.

SOM-MLAT menyediakan platform bagi AMS membincangkan pelaksanaan ASEAN MLAT dan berkongsi amalan terbaik, pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh MLA Central Authorities dalam meningkatkan kerjasama antara AMS.

Brunei turut menekankan kepentingan SOM-MLAT dalam memerangi jenayah transnasional dalam segala bentuknya, termasuk rasuah, pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

Di samping itu, pada laporan Negara Brunei Darussalam juga mengongsikan mengenai pengalaman MLA Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.